Piala akan datang ke Terengganu FC kalau...


Ketua jurulatih Terengganu Football Club (TFC), Nafuzi Zain mahu anak-anak buahnya memberikan tumpuan kepada menjayakan corak permainan seperti yang dikehendakinya sepanjang kempen pramusim Liga Super 2020.

Sejak membimbing pasukan TFC pada pertengahan musim lalu, pengendali berusia 41 tahun itu telah mula menerapkan corak permainan penguasaan bola dengan hantaran pendek.

Dan sepanjang kempen pramusim kali ini, dia dilihat mahu memperkukuhkan lagi corak permainan tersebut di samping membina keserasian dan kesefahaman antara pemain lama dan baharu pasukannya.

Nafuzi mempunyai keyakinan yang tinggi sekiranya para pemain benar-benar mengikuti corak permainan yang diterapkannya dengan baik dan cantik, TFC mampu meraih kejayaan pada saingan musim ini.

“Saya mahu melihat pasukan saya sebagai pasukan yang berjaya bermain dengan cara kami sendiri.

“Apabila kami cemerlang, piala itu akan datang dengan sendiri. Saya harap kami dapat membuat yang terbaik musim ini, Insya-Allah,” katanya seperti dipetik daripada Stadium Astro.

Setakat ini, TFC telah menjalani empat perlawanan persahabatan pramusim menentang Kelantan TRW, Kelantan United FC, Svay Rieng FC dan Kuala Lumpur. Ia berkesudahan dengan satu kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.

Sempat juga Nafuzi yang merupakan bekas penyerang pasukan Terengganu suatu masa dahulu mengulas mengenai prestasi pemain-pemain baharunya.

Dia nampak berpuas hati dengan kelibat pemain-pemain tersebut seperti Faris Ramli, D. Saarvindran dan Nasir Basharudin namun Nafuzi menuntut mereka berusaha dengan lebih gigih sebelum bermulanya saingan Liga Super, hujung februari depan.

“Setakat ini, saya amat berpuas hati. Faris baru tiga, empat hari menyertai kami. Kami menyedari keadaan Saarvindran daripada segi tahap kecergasannya.

“Saya juga berpuas hati dengan Nasir kerana dia seorang yang bekerja keras,” tambahnya lagi. - Foxsports