Mendapan Pasir Di Muara Kuala Kertih Diatasi

Sesi taklimat Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu, Shaari Haron kepada EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Dr Mamad Puteh bersama ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili serta Jurutera JPS Daerah Kemaman, Nik Mohd Fariz Zamani di Pantai Kuala Kertih. Foto - Ahmad Syahid Adnan
Oleh: Khalid Abdullah

KEMAMAN, 1 Januari - Mendapan pasir dikenal pasti menjadi punca muara Kuala Kertih semakin cetek sehingga menyebabkan nelayan terhimpit dengan kesukaran mendaratkan hasil selain terpaksa bertarung nyawa bagi mengelakkan bot terkandas atau terlanggar batu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, kerajaan negeri amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat terutama golongan yang memerlukan bantuan dan perlu diberi perhatian yang serius setiap aduan yang dikemukakan oleh mereka.

"Setiap aduan perlu dilihat dalam skop keperluan dan peruntukan sebelum sesuatu bantuan itu dapat dilaksanakan.

Dr Mamad Puteh. Foto - Hanif Hamdan
“Hari ini kita (kerajaan) menerima aduan daripada nelayan kawasan Kerteh mengenai terdapat benting pasir di Muara Sungai Kuala Kerteh akibat daripada musim terkujuh yang melanda daerah ini Disember lalu yang menghalang laluan bot-bot nelayan daripada keluar atau masuk bagi tujuan menangkap ikan.

"Akibat daripada itu, terdapat sebanyak 100 buah bot dan seramai 230 orang nelayan tidak dapat turun ke laut bagi tujuan menangkap ikan sebagai sumber pendapatan mereka.

“Kita dapati timbunan pasir ini berlaku dari timur ke selatan tetapi apabila berlakunya musim tenggara, pasir ini berubah dari selatan ke utara yang nenyebabkan muara sungai ini tertimbus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas meninjau Muara Sungai Kuala Kerteh petang semalam.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, keadaan sangat merbahaya kerana beting pasir sudah kelihatan di permukaan air.

“Hasil dari perbincangan dengan pihak Exco dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kita bersetuju untuk mulakan dengan kerja-kerja ‘short-term’ dengan membersihkan mendapan pasir tersebut terlebih dahulu.

“Bergantung keadaan, mungkin setiap kali mendapan berlaku, kerja-kerja menyedut pasir akan dilakukan segera.

“Kerja-kerja ini boleh mencecah belanja sebanyak RM200,000 dan mungkin boleh bertahan untuk tiga bulan sahaja, sehingga penyelesaian jangka masa panjang ditemui,” katanya di Kertih di sini semalam.

Tegasnya lagi, walaupun kelihatan seperti menabur garam ke laut, namun solusi jangka pendek tersebut perlu diambil supaya nelayan masih boleh ‘keluar masuk’ ke laut.

“Perbincangan melibatkan wakil nelayan setempat akan kita adakan untuk bersama-sama mencari solusi terbaik jangka masa panjang,” tambahnya.

Terdahulu, Ir Saiful Azmi mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh melawat muara sungai berkenaan pada tengahari.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah JPS Negeri, Shaari Haron dalam taklimat memberitahu, struktur ‘groyne’ sepanjang 200 meter telah dibina di muara Kuala Kertih pada tahun 1993 dengan kos perbelanjaan RM500,000.

“Kejadian beting pasir atau mendapan di muka kuala di sini dapat diatasi jika ‘groyne’ sedia ada dapat dipanjangkan dengan berapa penambahbaikan,” kata beliau.

Sumber: teganukita.net