SOALAN:
Apakah boleh kita memberi atau menggunakan gelaran Haji atau Hajjah pada mereka yang belum menunaikan haji? Adakah ianya dibenarkan? Sebab saya tengok sekarang ini ada yang sewenang-wenangnya gunakan gelaran Haji atau Hajjah ini untuk menipu orang ramai. Mohon pencerahan.
JAWAPAN:
Di antara akhlak seorang Muslim adalah memberikan gelaran-gelaran yang baik kepada saudaranya dan tidak memberikan gelaran yang buruk. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا تَلْمِزُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا۟ بِٱلْأَلْقَـٰبِ ۖ بِئْسَ ٱلِٱسْمُ ٱلْفُسُوقُ بَعْدَ ٱلْإِيمَـٰنِ ۚ
“…Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasiq, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasiq (kepada seseorang) sesudah dia beriman…” (Surah Al-Hujurat: 11)
Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut bahawa ayat ini membawa maksud jangan memanggil-manggil antara kalian dengan gelaran yang buruk dan boleh mendatangkan kebencian. Seperti contoh tidak boleh seorang Muslim menggelar saudaranya yang lain dengan gelaran ‘wahai fasiq, wahai munafiq’ ataupun menggelarkan orang yang masuk Islam dengan gelaran ‘wahai Yahudi, wahai Nasrani’. (Rujuk: Tafsir Al-Maraghi, 26/135)
Ini bermakna bahawa menggelarkan seseorang dengan gelaran yang buruk merupakan satu perbuatan yang tidak dibenarkan apatahlagi jika gelaran tersebut memberi makna yang tidak baik dan sebagainya.
Sheikh Muhammad Bin Ali Bin Adam Al-Athyubi menukilkan perkataan Al-Hafiz Al-‘Alaa’i. Beliau menyebut bahawa gelaran ini ada tiga jenis:
Pertama: Gelaran yang tidak disertai dengan celaan mahupun merendah-rendahkan. Ianya juga menyenangkan tuan empunya nama apabila diberi gelaran tersebut. Maka gelaran seperti ini adalah diharuskan tanpa syak lagi. Sebagai contoh gelaran yang pernah Nabi SAW berikan kepada seorang sahabat iaitu Al-Khirbaq Bin Amru dengan gelaran Zul Yadaini. Sedia maklum bahawa tangan beliau memang panjang. Boleh jadi gelaran tersebut adalah berbentuk kiasan yang diberikan oleh Nabi SAW untuk menggambarkan betapa kuatnya beliau bekerja. Ini adalah contoh gelaran yang tiada celaan mahupun unsur-unsur merendahkan.
Kedua: Dirasakan dengan pemberian gelaran tersebut adanya unsur mencela dan merendah-rendahkan. Yang mana ianya tidak ditujukan kepada sifat-sifat tertentu anggota badan. Jenis gelaran yang begini adalah diharamkan kerana terdapat ayat al-Quran yang menjelaskan perkara ini. Pengharamannya tidak hilang walaupun dipersetujui tuan empunya nama. Seperti haramnya melakukan qazaf atau menipu walaupun orang yang dituduh itu tidak berkata apa-apa.
Ketiga: Gelaran yang ditujukan kepada individu tertentu dengan menyebut sifat-sifat tertentu yang ada pada anggota badan. Seperti Al-‘Amash (penyakit mata), Al-‘Araj (tempang), Al-Asyal (cacat) dan Al-Athram (gigi ronggak dari kecil). Gelaran-gelaran ini seakan-seakan menjadi pengenalan untuk tuan empunya nama. Orang yang memberikan gelaran ini secara umumnya tidak bermaksud ingin merendah-rendahkan. Jenis yang ketiga ini tidaklah diharamkan. Perkara ini seperti sudah menjadi ijma' dari kalangan ahli hadith sama ada yang dahulu mahupun zaman sekarang. Kalaupun tuan empunya nama tidak menyukainya ianya tidak mendatangkan apa-apa kesan kerana orang yang memberi gelaran hanya ingin memperkenalkannya bukannya dengan tujuan merendah-rendahkan. (Rujuk: Zakhirah Al-‘Uqba Fi Syarh Al-Mujtaba, 14/314-315)
Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, pada asalnya kami melihat bahawa memberikan gelaran Haji atau Hajjah kepada mereka yang belum lagi menunaikan haji adalah sebagai harus. Ia bertujuan supaya menjadi galakan dan semangat untuk pergi menunaikan haji serta menjadi satu doa agar mereka diberikan kesempatan untuk menyempurnakan rukun Islam yang kelima.
Namun begitu, kaedah menyebut:
العادة محكَّمة
“Adat dan uruf setempat dijadikan hukum.”
Berdasarkan kaedah ini, kita melihat bahawa adat dan uruf masyarakat di tanah air berbeza dengan uruf di tempat lain. Di Malaysia, penggunaan gelaran Haji atau Hajjah hanya digunakan atau diberikan kepada mereka yang telah menunaikan haji. Inilah adat yang telah digunapakai sejak sekian lama. Maka, berdasarkan perkara tersebut kami melihat bahawa penggunaan gelaran Haji atau Hajjah seeloknya diberikan kepada mereka yang sudah diketahui pernah menunaikan haji. Ini juga bagi mengelakkan orang ramai daripada terkeliru dan tertipu dengan gelaran tersebut yang mana ianya banyak dimanipulasi oleh individu tertentu untuk mendapatkan keuntungan. Di samping itu, ianya dapat mengelakkan agar kita tidak memberi gelaran Haji atau Hajjah sewenang-wenangnya kepada orang yang tidak sepatutnya.
Kesimpulannya, kami melihat pemberian dan penggunaan gelaran Haji atau Hajjah kepada mereka yang belum lagi menunaikan haji seelok-eloknya dielakkan kerana menurut adat dan uruf di tanah air kita gelaran tersebut diberikan kepada mereka yang telah menyempurnakan rukun Islam kelima.
Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita semua. Wallahu’alam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media