Lee Tuck tekad mahu julang satu piala tahun ini


Kuala Terengganu : KEGAGALAN merangkul sebarang trofi sepanjang dua tahun bersama pasukan Terengganu FC (TFC) membuatkan arkitek skuad Penyu, Lee Tuck bertekad merangkul sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

Pemain berdarah kacukan Malaysia-England berusia 32 tahun itu juga mengidam untuk meledak lebih banyak jaringan lagi musim ini berbanding sembilan gol sepanjang 37 penampilan bersama skuad itu.

“Ya, saya sangat positif dengan musim baharu ini, saya percaya dengan kemampuan diri dan pasukan bahawa musim ini akan menjadi musim yang terbaik untuk kami merangkul kejuaraan.

“Impian saya ialah untuk menjaringkan lebih banyak lagi gol pada musim ini berbanding musim lalu selain mahu menjulang sekurang-kurangnya satu trofi bersama pasukan sebagai hadiah kepada diri, rakan sepasukan dan peminat selepas tiga musim bersama TFC.

“Jika diimbas kembali, tahun lalu dan 2018 adalah musim yang indah dalam hidup saya bersama TFC, saya sudah memberikan aksi terbaik lebih-lebih lagi hingga mara ke final Piala Malaysia pada 2018 sebelum muncul naib juara tewas kepada Perak.

“Matlamat kali ini ialah dapat memberikan persembahan yang terbaik buat pasukan dan peminat kami yang sentiasa memberikan sokongan padu pada setiap perlawanan,” ujar Tuck yang mula menyarung jersi TFC pada 2018 selepas berhijrah dari Negeri Sembilan. - Harian Metro