Hukum Wanita Memakai Gelang Kaki


SOALAN:
Isteri saya ingin pakai gelang kaki katanya untuk perhiasan. Bukankah hukum memakai gelang kaki tidak dibenarkan di dalam Islam. Mohon penjelasan berkenaan dengan ini. Saya masih keliru.

JAWAPAN:

Perhiasan

Perhiasan pada asalnya adalah diharuskan sekiranya tiada dalil yang mengharamkannya seperti berlebihan dan melampaui batas dan mendatangkan fitnah. Syeikh Sadiq Hassan al-Qinnauji menakalkan daripada Abu Sa’ud, menyebut: “Sesungguhnya setiap perhiasan itu diharuskan melainkan apabila didatangkan dengan dalil (melarangnya).” (Lihat fathul al-Bayan fi Maqasid al-Quran 4/335)

Firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf: 31)

Syeikh al-Sa’di menyatakan di dalam tafsirnya, apa yang dimaksudkan ayat di atas adalah perintah menutup aurat ketika solat. Oleh itu, menutup aurat apa yang terdapat pada perhiasan di badan. Dan merangkumi apa yang terkandung di dalam ayat ini adalah memakai pakaian yang baik dan bersih, arahan menutup aurat dan penggunaan perhiasan untuk kecantikan. (Lihat Taisir al-karim al-Rahman fi Tafsir kalam al-Mannan, 1/287)

Pemakaian Gelang Kaki

Berkenaan perhiasan dengan memakai rantai atau gelang kaki bagi perempuan, Allah SWT melarang perempuan menghentakkan kaki supaya gelang kaki itu berbunyi dan bertujuan menarik perhatian lelaki, Firman Allah SWT:

وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur: 31)

Di dalam al-Muasu’ah al-Kuwaitiyyah menaqalkan kata-kata Ibnu Kathir: “Para wanita di zaman Jahiliyyah pada kaki mereka dipakai gelang kaki yang berloceng, dan ketika mereka berjalan sambil menghentakkan kaki supaya didengari dan dilihat oleh golongan lelaki perhiasan yang terdapat di badan mereka. Oleh itu, Allah SWT melarang perempuan Muslimah melakukan perkara seperti berikut.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 7/88)

Imam al-Izz bin Abd al-Salam menafsirkan ayat di atas menyatakan: “Mereka para wanita apabila berjalan sambil menghentakkan kakinya bertujuan untuk mengeluarkan bunyi gelang kakinya maka larangan akan perbuatan tersebut.” (Lihat Tafsir al-Izz Abd al-Salam, 2/399)

Imam Qurtubi di dalam tafsirnya menyatakan: “Sesiapa yang melakukan perbuatan berikut (menghentakkan kakinya) bertujuan untuk bermegah-megahan dengan perhiasannya maka perbuatan itu adalah makruh. Dan sesiapa yang melakukannya bertujuan tabarruj serta menarik perhatian lelaki maka perbuatan itu adalah diharamkan dan dikeji. Begitu juga perbuatan menghentakkan kasut bagi lelaki, sekiranya dilakukan dengan perasaan ujub mmaka diharamkan keran ujub merupakan dosa yang besar, dan sekiranya seseorang lelaki melakukannya kerana tabarruj maka tidak diharuskan.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 12/238)

Imam Ibnu Kathir di dalam Tafsirnya menyatakan: “Wanita pada zaman Jahiliyyah apabila mereka berjalan dan terdapat gelang pada kaki mereka dan gelang itu tidak berbunyi. Oleh itu, mereka akan menghentakkan kaki supaya gelang kaki itu berbunyi dan diketahui oleh golongan lelaki akan bunyinya. Maka, Allah SWT melarang kaum Muslimat untuk melakukan perbuatan itu. Begitu juga, sekiranya sesuatu perhiasan yang terlindung, maka ia menggerakkannya (perhiasan) supaya untuk memperlihatkan perhiasannya yang tersembunyi. Oleh itu, perbuatannya itu termasuk di dalam larangan ini. Begitu juga dengan larangan memakai wangian ketika keluar rumah dan dihidu akan wangiannya itu oleh golongan lelaki.” (Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 6/49)

Dr. Wahbah Zuhaili dalam menafsirkan ayat di atas menyatakan: “Pemakaian gelang kaki dan menghentak kaki dengan mengeluarkan bunyi bertujuan untuk untuk menarik perhatian lelaki, perbuatan ini adalah dilarang untuk menunjukkan perhiasan dan ini juga merupakan dalil larangan melunakkan suara bagi perempuan.” (Lihat al-Tafsir al-Munir li Zuhaili, 18/212)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan dan penelitian dalil yang diberikan dapat disimpulkan, larangan ayat di atas, adalah disebabkan sesuatu perbuatan yang boleh mendatangkan fitnah dan menarik perhatian golongan lelaki ajnabi.

Ini seperti perbuatan menghentak kaki atau menggoyangkan tangan supaya mengeluarkan bunyi pada gelang yang dipakainya untuk menarik perhatian golongan lelaki, maka perbuatan itu merupakan perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

Begitu juga sebaliknya, sekiranya memakai gelang kaki atau tangan bertujuan untuk menarik perhatian suaminya maka perbuatan itu diharuskan. Selain itu, pemakaian gelang kaki atau tangan yang berloceng pada kanak-kanak perempuan bertujuan untuk pengawasan, maka kami berpendapat ianya diharuskan.

Ini juga boleh dikaitkan dengan pemakaian kasut bertumit tinggi, apabila berjalan dapat mengeluarkan bunyi sehingga boleh menarik perhatian lelaki, maka perbuatan itu juga diharamkan kerana ia juga termasuk di dalam larangan ayat di atas. Dan sekiranya sebaliknya maka ia diharuskan.

Oleh itu, dapat disimpulkan di sini, pemakaian gelang kaki mestilah:

  • Bukan bertujuan untuk tabarruj serta menarik perhatian golongan lelaki ajnabi.
  • Bukan bertujuan untuk ujub, riak dan takabbur.
  • Tidak berlebihan dan melampaui batas di dalam pemakaikan sehingga menyebabkan pembaziran.

Ini seperti yang disarankan oleh Baginda Nabi SAW hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bi al-Ash R.A:

كُلُوا وَاشْرَبُوا وَتَصَدَّقُوا وَالْبَسُوا مَا لَمْ يُخَالِطْهُ إِسْرَافٌ أَوْ مَخِيلَةٌ ‏
“Makan dan minumlah, bersedekah dan berpakaianlah tanpa ada unsur berlebihan atau sia-sia.” [Sunan Ibnu Majah (3605)]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agama-Nya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syariat-Nya dengan sebaiknya.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media