SOALAN:
Bolehkah pesakit buah pinggang mendapatkan bantuan zakat bagi menampung perbelanjaan rawatan hemodialisis secara berkala? Mohon penjelasan. Terima kasih.
JAWAPAN:
Secara asasnya, zakat hendaklah diberikan kepada lapan golongan asnaf yang telah ditetapkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran melalui firman-Nya:
إِنَّمَا ٱلصَّدَقَٰتُ لِلۡفُقَرَآءِ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱلۡعَٰمِلِينَ عَلَيۡهَا وَٱلۡمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمۡ وَفِي ٱلرِّقَابِ وَٱلۡغَٰرِمِينَ وَفِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِۖ فَرِيضَةٗ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٞ
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Taubah: 60)
Lapan golongan asnaf yang telah disebutkan di dalam ayat di atas sahaja yang layak mendapat bantuan zakat. Oleh itu, jika sekiranya pesakit tersebut dalam kalangan fakir dan miskin yang tidak mampu untuk menampung kos rawatan, maka diharuskan baginya untuk menerima bantuan zakat. Hal ini seperti dijelaskan di dalam fatwa al-Kalim al-Tayyib oleh Syeikh Ali Jum’ah hafizahullah Taala:
و هؤلاء الذي يعسلون كلاهم –كما ورد في السؤال- غير مستطيعين مالًا للإنفاق على هذا الغسيل فهم يدخلون في هذين مصرفين.. فإنّه يجوز شرعا إعطاء أموال الزكاة لمرضى الغسيل الكلوي أو غيرهم من المرضى شريطة أن يكون فقراء أو مساكين.
“Mereka yang perlu menjalani rawatan dialisis –sepertimana yang disebutkan dalam soalan-, jika sekiranya mereka tidak mampu untuk menanggung perbelanjaan rawatan tersebut, maka mereka termasuk dalam dua asnaf ini iaitu fakir dan miskin. Oleh kerana itu, harus hukumnya untuk memberikan harta zakat kepada pesakit buah pinggang atau pesakit-pesakit lain dengan syarat mereka tidak mampu sebagai asnaf fakir dan miskin.” (Rujuk al-Kalim al-Tayyib Fatawa ‘Asriyyah, 2:125)
Disamping itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) juga menawarkan bantuan perubatan diberikan kepada tiga bentuk bagi meringan beban kerana mendapatkan rawatan dari mana-mana hospital kerajaan, iaitu:
- Bantuan Perubatan ‘Am
- Bantuan Peralatan Kesihatan
- Bantuan Hemodialisis.
Jika syarat yang diletakkan oleh pihak MAIWP dipenuhi dan dokumen mencukupi, maka permohonan boleh dihantarkan kepada mereka supaya sumbangan bantuan zakat dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
Kesimpulan
Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa hukum memberi zakat bagi bantuan rawatan kepada pesakit buah pinggang atau pesakit-pesakit yang lain adalah diharuskan, dengan syarat pesakit tersebut berada di dalam kesusahan dan tidak mampu menanggung kos rawatan tersebut, maka mereka tergolong dalam asnaf fakir dan miskin. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agama-Nya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syariat-Nya dengan sebaiknya. Amin.
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media