SOALAN:
Adakah boleh digunakan lafaz istirja’ pada makhluk lain selain orang Islam, contohnya orang kafir dan juga haiwan-haiwan? Mohon pencerahan.
JAWAPAN:
Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah SWT:
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ﴿١٥٥﴾ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” [Surah al-Baqarah (155-156)]
Pada ayat ini, Allah SWT memberi khabar bahawa Dia menguji hamba-hamba-Nya yang beriman dengan beberapa ujian di saat mereka berada dalam keadaan suka dan duka, dan kesemua ini (mereka yang diuji Allah SWT dalam kalangan hamba-Nya) mendapat pahala jika mereka bersabar terhadapnya. Mereka kemudiannya mengucapkan lafaz istirja’ bukti sebagai seorang yang sabar dan syukur. [Lihat: Tafsir al-Maraghi; 1/467]
Begitulah petunjuk yang telah diberikan melalui wahyu yang mana apabila berlakunya musibah (kematian) maka antara ciri-ciri mereka yang bersabar dengan musibah tersebut adalah mereka mengucapkan istirja’ iaitu ucapan:
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٰجِعُونَ
“Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
Ummu Salamah R.Anha berkata bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"مَا مِنْ مُسْلِمٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ، فَيَقُولُ مَا أَمَرَهُ اللهُ: {إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ} [البقرة: 156]، اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا، إِلَّا أَخْلَفَ اللهُ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا".
“Tidaklah seorang Mukmin tertimpa musibah lalu ia membaca apa yang telah diperintahkan oleh Allah: “Innaa lillahi wainnaa ilaihi raaji'uun allahumma`jurnii fii mushiibati wa akhlif lii khairan minhaa (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan akan kembali kepada Allah. Ya Allah, berilah kami pahala karena mushibah ini dan tukarlah bagiku dengan yang lebih baik daripadanya)”, melainkan Allah menukar baginya dengan yang lebih baik.” [Riwayat Muslim (918)]
Maka jelaslah melalui hadith ini bahawa setiap orang Mukmin digalakkan untuk menyebut lafaz istirja’ ketika mana ditimpa musibah sama ada musibah tersebut kecil ataupun besar (misalnya kematian). Imam al-Nawawi menyebut sunat melafazkannya kerana Rasulullah SAW disuruh melafazkannya dan ayat al-Quran juga menunjukkan hal yang sama begitu juga ijma’ Muslimin. [Lihat: al-Minhaj Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim; 6/220]
Imam al-Qurtubi pula menyatakan dalam tafsirnya, musibah ialah setiap perkara yang menimpa manusia dan menyakiti mereka. [Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 2/175]
Perlu difahami di sini bahawa lafaz istirja’ ini bukan hanya disunatkan untuk dilafazkan pada waktu berlakunya sesebuah kematian namun ia umum pada setiap perkara atau kejadian yang menimpa manusia apatah lagi menyakiti mereka. Ini dikuatkan lagi dengan sabda Nabi Muhammad SAW:
عن عكرمة: أنَّ مصباحَ رسولِ اللهِ ﷺ انطفأَ ذاتَ ليلةٍ، فقال: إنّا للهِ وإنّا إليْه راجعونَ. فقيل: أمصيبةٌ هي يا رسولَ اللهِ؟ قال: نعم، كلُّ ما آذى المؤمنَ فهو مصيبةٌ.
Dari ‘Ikrimah R.A bahawasanya pelita Rasulullah SAW terpadam pada satu malam. Lantas Baginda mengucapkan: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Kemudian dikatakan kepadanya: “Adakah ini dianggap musibah wahai Rasulullah?” Jawab Baginda: “Ya. Setiap yang menyakiti orang beriman maka ia dianggap musibah.” [Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 2/175] dan sabit maknanya dalam al-Shahih]
Justeru itu, disunatkan ke atas setiap Muslim untuk mengucapkan lafaz istirja’ pada setiap musibah ataupun dugaan yang menimpa diri mereka. Ini kerana ada beberapa hikmah di sebaliknya termasuklah pengakuan terhadap keesaan Allah SWT, kepercayaan pada Hari Akhirat (tempat kembalinya manusia), berserah diri dengan ketentuan Ilahi serta berharap akan ganjaran di sisiNya. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 3/281]
Lafaz istirja’ kerana orang kafir meninggal dunia
Persoalan seterusnya timbul apabila ayat ini (Surah al-Baqarah: 155-156) menurut sebahagian para ulama’ tafsir dikhususkan hanya kepada orang Mukmin yakni lafaz istirja’ ini hanya boleh dilafazkan terhadap orang Muslim. [Lihat: Tafsir Ibn Abi Hatim; 1/263]
Maka, bolehkah seseorang Muslim mengucapkan lafaz istirja’ terhadap orang kafir yang meninggal dunia?
Pada dasarnya, lafaz istirja’ ini sendiri membawa maksud bahawa semua manusia adalah milik Allah SWT. Imam al-Qurtubi berkata melalui tafsirnya: “Kalimah, ‘Inna lillahi’ adalah tauhid dan pengakuan terhadap ubudiyah (status kita sebagai hamba) dan kekuasaan Allah. Sedangkan kalimah, ‘Wa inna ilaihi raaji’uun’ adalah pengakuan bahawa kita akan binasa, dan akan dibangkitkan dari alam kubur kita, serta keyakinan bahwa semua urusan kembali kepada-Nya, sebagaimana semua ini milik-Nya.” [Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 2/176].
Menurut Syeikh Ibn Baz: “Jika orang kafir meninggal dunia, maka tidak mengapa untuk kita mengucapkan lafaz istirja’ walaupun orang kafir tersebut bukan dari kerabat kita. Ini kerana setiap manusia akan kembali pada-Nya, dan setiap manusia adalah kepunyaan Allah SWT namun tidak boleh mendoakan mereka atau memohon keampunan bagi mereka selagi mana mereka tidak kembali ke jalan Allah SWT.” [Lihat: Fatawa Nur ‘ala al-Darb; m/s 375]
Perkara ini dikuatkan lagi dengan firman Allah SWT:
﴿مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَن يَسۡتَغۡفِرُواْ لِلۡمُشۡرِكِينَ وَلَوۡ كَانُوٓاْ أُوْلِي قُرۡبَىٰ مِنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمۡ أَنَّهُمۡ أَصۡحَٰبُ ٱلۡجَحِيمِ﴾
“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.” (Al-Taubah: 113)
Pada ayat ini, jelas larangan dari Allah SWT terhadap orang-orang yang beriman agar tidak mendoakan keampunan buat orang-orang Musyrik. Hal ini juga ada disebut oleh Imam al-Nawawi:
وأما الصلاة على الكافر والدعاء له بالمغفرة فحرام بنص القرآن والإجماع
“Adapun solat ke atas orang kafir dan mendoakan mereka agar diampuni dosanya, maka hukumnya haram, berdasarkan nas al–Qur’an dan Ijma’. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzabb; 5/144]
Lafaz istirja’ kerana haiwan peliharaan mati
Jika seseorang Muslim memiliki haiwan ternakan seperti kambing, lembu, ayam dan lain-lain, kemudian pada suatu hari haiwan tersebut mati, maka ia merupakan musibah yang menimpa diri muslim tersebut pada hartanya. Demikian itu, dibolehkan ke atasnya untuk mengucapkan lafaz istirja’ kerananya. Ini berdasarkan maksud umum hadith Nabi Muhammad SAW riwayat ‘Ikrimah yang telah dinyatakan di perenggan sebelum ini.
Adapun bagi haiwan yang haram dipelihara ataupun matinya haiwan tersebut tidak mendatangkan sebarang musibah pada hakikatnya terhadap seseorang seperti contoh haiwan tersebut milik orang lain atau bukan milik sesiapa atau haiwan tersebut dalam kategori haiwan liar, maka tidak perlu untuk mengucapkan lafaz istirja’ kerananya. Akan tetapi, jika kematian haiwan tersebut dapat mengingatkan diri terhadap mati dan kembalinya semua makhluk kepada Tuhannya. Dalam hal begini, maka tidak mengapa untuk diucapkan lafaz istirja’ kerana ia sebahagian dari bentuk tafakkur dan juga peringatan yang dibenarkan oleh syarak.
Penutup
Kesimpulannya, sebagai seorang Muslim, kita seharusnya bersabar terhadap segala ujian yang menimpa diri sama ada musibah tersebut kecil ataupun besar, maka disunatkan ke atas kita untuk mengucapkan lafaz istirja’ apabila diri kita ditimpa dengan ujian dan juga dugaan hidup sama ada berbentuk harta, keturunan dan juga nyawa. Oleh itu, jika seseorang Muslim meninggal duia, kita disunatkan untuk melafazkan lafaz istirja’ ini.
Dibolehkan juga untuk melafazkannya jika ada orang kafir yang meninggal dunia, ataupun haiwan ternakan kita yang mati, maka kita melafazkan lafaz ini sebagai peringatan dan juga tafakkur terhadap diri akan kekuasaan Allah SWT dan juga kepercayaan bahawa semua makhluk adalah milik Allah SWT dan semua akan kembali kepada-Nya bila tiba saatnya.
Akhir kalam ini, kami mendoakan agar Allah mengurniakan kita husnul khotimah (pengakhiran yang baik) dalam kehidupan ini, moga Allah S.WT menetapkan keimanan kita, menguatkan pendirian kita dan juga pegangan diri dalam agama Islam. Moga Allah menerima segala amal ibadat kita insyaAllah.
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media