SOALAN:
Apakah hukum menggantung ayat suci al-Quran atau kalimah Allah atau Muhammad di dalam rumah? Bagaimana pula jika kalimah tersebut digantung di bahagian dinding belakang tv kemudian kaki kita dihalakan ke arahnya ketika berbaring? Adakah ia dikira sebagai tidak beradab dengan kalimah-kalimah suci berikut? Mohon penjelasan.
JAWAPAN:
Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah SWT:
﴾كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ﴿
“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” [Surah Sod (29)]
Dalam ayat ini, Allah menyatakan bahawa al-Quran diturunkan sebagai petunjuk dan juga peringatan kepada umat manusia seluruhnya. Imam al-Baidhowi mengatakan ayat ini bermaksud al-Quran diturunkan untuk tadabbur dan juga tazakkur (peringatan). [Lihat: Tafsir al-Baidhowi; 5/28]
Al-Quran adalah kalam Allah SWT yang mulia, merupakan petunjuk buat kita manusia, maka ia perlulah dijaga dan dipelihara dengan sebaiknya.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan berkenaan hukum menggantung ayat-ayat suci al-Quran ini ada dibahaskan para ulama’ berkenaannya. Pada dasarnya, para ulama’ bersepakat meletakkan hukum haram pada perbuatan menggantung ayat-ayat suci al-Quran atau kalimah seperti Muhammad SAW dan Allah SWT di dalam rumah ataupun di kedai-kedai dan selainnya dengan tujuan menolak bala atau melariskan perniagaan atau dengan kepercayaan ia berfungsi sebagai tangkal atau penarik orang ramai dan sebagainya. Ini bersandarkan kepada sabda Nabi Muhammad SAW:
مَنْ تَعَلَّقَ شَيْئًا وُكِلَ إِلَيْهِ
“Sesiapa yang menggantung sesuatu nescaya dia akan diserahkan kepadanya (benda yang digantung).” [Riwayat Al-Tirmidzi (2072)]
Ibn Al-Athir sepertimana dinukilkan oleh Syeikh Mulla Ali Al-Qari, berkata: “Sesiapa yang menggantungkan sesuatu ke atas dirinya daripada pelindung-pelindung, tangkal, dan yang seumpama dengan keduanya dengan beriktikad bahawa kesemua itu mendatangkan manfaat atau menghalang kemudaratan nescaya dia akan diserahkan kepadanya. Iaitu dia akan dibiarkan bersama benda yang dijadikan pelindung itu dan akan ditinggalkan bersamanya.” [Lihat: Mirqat al-Mafatih; 7/2882]
Adapun menggantungkan ayat-ayat suci al-Quran dan kalimah Allah dan Muhammad sebagai perhiasan dan peringatan, ulama’ berbeza pendapat mengenainya. Perbezaan ini boleh dilihat melalui dua pendapat iaitu sebahagian ulama’ meletakkannya sebagai makruh dan sebahagian lagi mengatakannya harus.
Pendapat pertama: Makruh
Pada asalnya, perhiasan adalah diharuskan sekiranya tiada dalil yang mengharamkannya seperti berlebihan dan melampaui batas dan mendatangkan fitnah. Al-Razi menyebut di dalam kitabnya: “Sesungguhnya setiap perhiasan itu diharuskan melainkan apabila didatangkan dengan dalil (melarangnya).” [Lihat: Fath al-Bayan fi Maqasid al-Quran: 3/311]
Majoriti ulama’ meletakkan hukum makruh menggantungkan kalimah-kalimah suci pada dinding, tiang dan sebagainya walaupun dengan tujuan peringatan dan juga sebagai perhiasan.
Menurut mazhab Syafi’i, Imam al-Nawawi berkata dalam kitabnya bahawa makruh hukumnya jika menulis ayat al-Quran pada dinding. [Lihat: al-Tibyan fi Adab Hamlatil Quran; m/s 190]
Walaupun pada dinding masjid dan sebagainya. [Lihat juga: Rawdatu al-Tholibin; 1/80]
Perkara ini juga ada dinukilkan oleh Imam al-Syarbini dalam kitabnya. [Lihat: al-Iqna’ fi Halli Alfazh Abi Syuja’; m/s 104]
Syeikh al-‘Uthaimin mengatakan perbuatan ini adalah suatu perkara yang baharu yang tiada dalam amalan ulama’-ulama’ terdahulu. Jika perbuatan ini merupakan amalan yang baik dan disukai, maka semestinya Allah SWT akan mensyariatkan perbuatan ini melalui lisan Rasulullah SAW. Kemudian, beliau menanyakan atas dasar dan sebab apa perbuatan ini dilakukan? Jika kerana rasa hormat, maka terlebih dahulu para sahabat akan melakukannya. Dan jika ia digantung sebagai peringatan, maka beliau berkata bahawa pada zaman kini, orang yang melihatnya sebagai peringatan teramatlah sedikit berbanding mereka yang melihatnya dari segi tulisan, kecantikan dan sebagainya bukannya isi kandungan yang tidak langsung menyentuh hati dan jiwa mereka untuk dijadikan iktibar mahupun peringatan. [Lihat: Fatawa Nur ‘ala Darb; 4/2]
Syeikh Nasir bin ‘Abd al-Rahman al-Judai’ pula berkata:
لقد نص جماعة من علماء السلف عند كلامهم على الآداب الخاصة بالقرآن الكريم على كراهة كتابة القرآن الكريم على الجدران، في المسجد وغيرها، أو على الثياب ونحوها، على سبيل الاطلاق، ولم يستثنوا ما كان من ذلك لتبرك.
“Sebahagian ulama' salaf (terdahulu), ketika memperkatakan berkenaan adab-adab yang khusus terhadap al-Quran al-Karim, mereka menetapkan secara mutlak dibencinya menulis al-Quran di dinding-dinding, di dalam masjid, dan selainnya, atau pada pakaian dan seumpamanya. Dan tidak terkecuali juga (menulis ayat al-Quran pada dinding) jika bertujuan untuk mencari keberkatan.” [Lihat: al-Tabarruk ‘anwa’uhu wa ahkamuhu; m/s 239]
Pendapat kedua: Harus
Sebahagian ulama’ yang lain mengatakan bahawa hukum menggantung ayat-ayat suci al-Quran di dalam rumah adalah harus jika untuk tujuan perhiasan dan juga sebagai peringatan.
Menurut Lajnah al-Ifta’ Jordan berkenaan hukum menggantung ayat-ayat al-Quran dan kalimah suci seperti Muhammad SAW dan Allah SWT pada dinding, tiang dan sebagainya, mereka mengatakan:
تجوز كتابة الآيات القرآنية على الجدران أو نقشها عليها أو تعليقها على شكل مناظر، ولكن الواجب أن تُعظَّم وتُحترم، وتُصان عن العبث أو الامتهان
“Dibolehkan menulis ayat al-Quran pada dinding atau diukir padanya ataupun digantung untuk dilihat. Namun ia mesti dimuliakan dan juga dihormati serta dipelihara dari sebarang penyalahgunaan dan penghinaan.”
Perkara ini juga berdasarkan kepada firman Allah SWT:
﴾ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ
“Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang Mukmin.” [Surah al-Hajj (32)]
Dar al-Ifta’ al-Misriyyah juga berpendapat bahawa perbuatan menggantung kalimah tersebut adalah harus namun dengan syarat seperti berikut:
وكذلك الحال في كتابة الآيات القرآنية على الجدران في غير المساجد يجب أن تكون بطريقة مُتْقَنة مُحكَمة تراعي قدسية الآيات واحترامها.
“Begitu juga dalam hal penulisan ayat-ayat al-Quran pada selain dinding masjid mestilah dengan cara yang kemas dan baik meraikan kesucian ayat dan juga menghormatinya.”
Syeikh Ibn Baz juga berkata tiada larangan pada perbuatan menggantungkan ayat al-Quran dan juga hadith-hadith Nabi Muhammad SAW pada dinding dengan tujuan memberi peringatan atau mengambil iktibar dan faedah daripadanya dan bukan bertujuan sebagai pelindung. Namun, gantungan ini mestilah di tempat yang bersih dan baik bukannya di tempat yang kotor dan bukannya kalimah tersebut untuk tujuan penghinaan.
Menghormati ayat-ayat suci al-Quran
Kemudian, berkenaan dengan persoalan melunjurkan kaki ke arah ayat al-Quran yang digantung tanpa sengaja ataupun tanpa niat menghina, maka kami mengatakan ia adalah dimaafkan. Namun sebaliknya, jika si pelaku berniat memberi penghinaan ke atas ayat-ayat suci al-Quran tersebut, maka hukumnya adalah haram sama sekali.
Imam al-Nawawi ada menyebut:
أَجْمَعَ المُسْلِمُونَ عَلَى وُجُوبِ صِيَانَةِ المصحف وَاحْتِرَامِهِ
“Seluruh orang Islam telah bersepakat ke atas kewajipan memelihara mushaf (al-Quran) dan menghormatinya.” [Lihat: al-Tibyan fi Adab Hamlatil Quran; m/s 164, 190]
Penghinaan terhadap al-Quran jelas merupakan dosa besar. Firman Allah SWT:
﴿وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ (65) لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ إِنْ نَعْفُ عَنْ طَائِفَةٍ مِنْكُمْ نُعَذِّبْ طَائِفَةً بِأَنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ﴾
“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main.” Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya (al-Quran) serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu beriman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.” [Surah al-Taubah (65-66)]
Syeikh al Qadhi bin ‘Iyadh menegaskan (dalam hal berkait dengan ayat ini): “Ketahuilah, siapa saja yang meremehkan al-Quran, mushafnya atau sebagian dari al-Quran, atau mencaci-maki al-Quran dan mushafnya, maka ia kafir (murtad) berdasarkan kata sepakat para ulama’.”
Kesimpulan
Tuntasnya, kami cenderung kepada pendapat yang mengatakan harus menggantungkan ayat-ayat suci al-Quran dan juga kalimah-kalimah seperti Allah SWT dan Muhammad SAW pada dinding, tiang, di dalam rumah dan sebagainya berdasarkan dawabith (syarat) yang berikut:
- Mestilah digantung di tempat-tempat dan juga kawasan yang baik, bersih dan terhindar dari kotoran najis serta digantung dengan baik (tidak mudah jatuh) bagi mengelakkan jatuhnya pada kaki manusia.
- Ia juga mestilah digantung bukan bagi tujuan penghinaan atau mencari keberkatan namun sebagai peringatan.
- Jangan berlebih-lebihan dalam perbuatan ini sehingga boleh menyebabkan berlakunya pembaziran.
Justeru, menjawab kepada persoalan yang diajukan, jika dengan menggantung kalimah suci al-Quran dan seumpamanya atas televisyen itu menyebabkan berlakunya penghinaan ataupun ia bercanggah dengan tujuan penggantungannya, iaitu mengingatkan diri kepada Allah SWT di samping bagi menghiasi dinding dengan seni tulisan khat, maka ia seharusnya dielakkan dan sebaiknya digantung kalimah tersebut berdasarkan dawabith yang telah kami senaraikan di atas.
Akhir kalam, semoga Allah memberkati kehidupan kita semua, memberikan kita kekuatan dan keikhlasan dalam beribadah kepada-Nya, moga Allah menetapkan hati kita, menguatkan keimanan, memberikan petunjuk dan kefahaman.
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media