Hukum Membaca Ayat Al-Sajdah Bertujuan Untuk Sujud Tilawah Selain Dari Solat Subuh Hari Jumaat


SOALAN:
Saya nak tanya berkenaan sujud tilawah. Kenapa ada dikatakan tidak sah solat jika seseorang itu solat dan membaca surah yang ada ayat tilawah dan dia sujud tilawah dalam solat tersebut selain daripada solat fardhu subuh pada hari Jumaat? Adakah dalil yang melarangnya?

JAWAPAN:
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.A bahawa beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأ عَلَيْنَا السُورَةَ فِيهَا السَجْدَةُ فَيَسْجُدَ وَنَسْجُد
“Pada satu ketika, Rasulullah SAW membacakan kepada kami satu surah yang mempunyai ayat Sajdah, maka Baginda SAW pun sujud lalu kami pun ikut sujud juga.” (Rujuk: Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2:556)

Hadith di atas menceritakan tentang sujud tilawah. Sujud tilawah ialah sujud yang dilakukan apabila seseorang membaca atau mendengar ayat-ayat yang terdapat padanya tempat sujud tilawah. Jumhur ulama’ menyatakan hukumnya ialah sunat dan bukannya wajib. Inilah juga pendapat Umar ibn al-Khattab, Ibn Abbas, Imran bin Husain, Imam Malik, Imam al-Auza’ie, Imam Syafi’e, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur, Daud dan lain-lain.

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, ulama’ Syafi’ieyyah ada menyatakan larangan membaca satu atau beberapa ayat daripada ayat Sajdah dengan tujuan untuk melakukan sujud (tilawah) sama ada di dalam solat fardhu atau sunat.

Larangan tersebut telah dinyatakan dalam beberapa kitab mazhab Syafie, antaranya seperti berikut:

ويسجد مصل لقراءته ، أي لا بقصد السجود في غير صبح الجمعة
“Dan hendaklah orang yang melakukan solat itu bersujud (tilawah) ketika membacanya (ayat Sajdah), yang demikian itu bukanlah bertujuan untuk melakukan sujud (tilawah) itu pada hari selain Jumaat.” (Rujuk: Hasyiyah al-Jamal ‘ala Syarh al-Minhaj, 1/472-473)

Hal ini turut dinyatakan oleh Imam Al-Ramli ketika mensyarahkan kitab Minhaj:

ولو قرأ في الصلاة آية سجدة أو سورتها بقصد السجود في غير ألم تنزيل في صبح يوم الجمعة بطلت صلاته على المعتمد إن كان عالما بالتحريم
“Dan apabila seseorang membaca ayat Sajdah atau surahnya di dalam solat (selain surah as-Sajdah) pada waktu Subuh di hari Jumaat dengan tujuan untuk melakukan sujud maka solatnya terbatal mengikut pandangan yang muktamad sekiranya dia mengetahui larangan tersebut.” (Rujuk: Hasyiyah al-Jamal ‘ala Syarh Al-Minhaj, 1/472-473)

Pandangan ini turut dinukilkan oleh Imam Al-Ghamrawi:

ولا تستحب قراءة آية سجدة في الصلاة بقصد السجود ، فإن قرأ بقصد ذلك وسجد بطلت الصلاة إلا في صبح يوم الجمعة فتسن فيه قراءة ألم تنزيل
“Dan tidak disunatkan untuk membaca ayat Sajdah di dalam solat dengan tujuan untuk sujud (tilawah), sekiranya dia membaca ayat (Sajdah) dengan tujuan tersebut lalu dia sujud (tilawah) maka batal solatnya, kecuali ketika solat Subuh pada hari Jumaat, lalu hal itu sunat baginya untuk membaca surah as-Sajdah.” (Rujuk: Siraj al-Wahhaj ‘ala Syarh Al-Minhaj, hlm 63)

Daripada perbincangan di atas, dapat kami simpulkan masalah ini kepada beberapa keadaan seperti berikut:

1. Hukum membaca ayat atau surah Sajdah selain dari solat Subuh pada hari Jumaat dengan sengaja.

Para ulama’ Syafi’ieyyah menyatakan larangan membaca ayat atau surah Sajdah di dalam solat sama ada fardhu atau sunat dengan tujuan untuk melakukan sujud. Hal ini kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan penambahan satu rukun fi’li di dalam solat iaitu sujud. Sekiranya dia melakukannya dengan sengaja, maka batal solatnya. Adapun bagi mereka yang terlupa atau jahil mengenai hukum tersebut, maka hal tersebut dimaafkan.

2. Hukum membaca ayat atau surah Sajdah di dalam solat Subuh pada hari Jumaat dengan sengaja.

Disunatkan membaca surah al-Sajdah ألم تنزيل di dalam solat Subuh pada hari Jumaat sekalipun dengan tujuan untuk melakukan sujud (tilawah) kerana hal tersebut terdapat dalam sunnah Rasulullah SAW, sebagaimana sabdanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الجُمُعَةِ فِي صَلاَةِ الفَجْرِ الم تَنْزِيلُ السَّجْدَةَ، وَهَلْ أَتَى عَلَى الإِنْسَانِ حِين من الدهر
“Adapun Nabi SAW membaca pada hari Jumaat di dalam solat Fajar dengan surah al-Sajdah الم تَنْزِيلُ dan surah al-Insan هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا.” [Riwayat al-Bukhari (891)dan Muslim (879)]

Kesimpulan

Justeru, hukum membaca mana-mana ayat Sajdah di dalam solat dapat diringkaskan seperti berikut:

  • Membaca ayat Sajdah dengan tujuan untuk tilawah semata mata, maka perkara tersebut diharuskan.
  • Membaca ayat Sajdah dengan tujuan untuk tilawah berserta sujud, maka hal ini juga diharuskan. (Rujuk: I’anah al-Tolibin, 1/246). Dan keadaan ini yang menjadi kebiasaan kebanyakan masyarakat di negara kita.
  • Membaca mana-mana ayat Sajdah dengan tujuan untuk sujud semata-mata, justeru hal ini yang ditegah oleh para ulama’ dan boleh membatalkan solat.

Seterusnya, solat seseorang terbatal apabila dia membaca ayat Sajdah dengan sengaja lalu dia melakukan sujud tilawah, namun sekiranya dia membaca ayat Sajdah dengan sengaja tanpa melakukan sujud (tilawah), maka solatnya tetap sah. (Rujuk: Hasyiyah al-Jamal ‘ala Syarh al-Minhaj, 1/472-473)

Oleh yang demikian, dapatlah difahami bahawa solat seseorang terbatal sekiranya dia membaca mana-mana ayat Sajdah di dalam solat secara sengaja, semata-mata dengan tujuan untuk melakukan sujud (tilawah) dan bukan pada keadaan yang lain. Wallahua’lam.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang benar dan memandu kita dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media