Hukum Membaca Al-Quran Untuk Mengharap Habuan Dunia


SOALAN:
Boleh ke membaca al-Quran semata-mata mengharapkan habuan dunia? Sebagai contoh, membaca al-Waqiah sebab nak kaya. Mohon penjelasan, terima kasih.

JAWAPAN:
Membaca al-Quran pada asalnya bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Selain itu, kitab al-Quran diturunkan sebagai panduan dan petunjuk kepada manusia untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ
“Dan demi sesungguhnya! Kami telah memudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?” (Surah al-Qamar: 17)

Kelebihan Membaca Surah al-Waqiah

Terdapat pelbagai hadith dan riwayat tertentu yang menceritakan tentang kelebihan dan fadhilat beramal dengan surah tertentu bagi mendapat manfaat di dunia serta akhirat.

Ini seperti pengamalan membaca surah al-Waqiah, Imam Syaukani menyatakan di dalam tafsirnya bahawa Surah al-Waqiah mengandungi 97 ayat atau 96 ayat dan diturunkan di Makkah. (Lihat Fathu al-Qadir, 5/176)

Di antara kelebihan membaca surah al-Waqiah seperti yang diceritakan oleh Ibnu Mas’ud R.A:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ لَمْ تُصِبْهُ فَاقَةٌ أَبَداً
“Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka dia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya.” [Lihat: Al-Jamie’ al-Soghir, al-Suyuti (12546)]

Imam al-Syaukani di dalam tafsirnya menukilkan sebuah hadith yang dikeluarkan Ibnu Asakir, daripada Ibnu Abbas R.A, sabda Nabi SAW:

سورة الواقعة سورة الغنى، فاقرؤوها، وَعَلِّمُوهَا أَوْلَادَكُمْ
“Surah al-Waqiah merupakan surah kekayaan, maka bacalah ia, dan ajarilah ia kepada anak-anak kamu.” (Lihat: Fathu al-Qadir li Syaukani, 5/176)

Selain itu, Dr. Wahbah Zuhaili menukilkan sebuah hadith yang menceritakan tentang kelebihan surah al-Waqiah dengan menyatakan, daripada Abu Zibah berkata ketika Abdullah bin Mas’ud sedang tenat dan nazak, lalu Sayyidina Uthman bin Affan R.A menziarahinya dan bertanya berkenaan peninggalannya kepada anak perempuannya, maka Ibnu Mas’ud berkata:

أتخشى على بناتي الفقر؟ إني أمرت بناتي يقرأن كل ليلة سورة الواقعة، إني سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: «من قرأ سورة الواقعة كل ليلة، لم تصبه فاقة أبدا»
“Apakah engkau risau akan puteri-puteriku menjadi fakir? Sesungguhnya aku telah memerintahkan puteriku untuk membaca surah al-Waqiah pada setiap malam. Ini kerana aku telah mendengar Rasullullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka dia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya.” (Lihat: Al-Tafsir al-Munir li Zuhaili, 27/240)

Tawassul dengan al-Quran Sebagai Amalan Soleh

Berbalik kepada persoalan di atas, kami datangkan pembahasan berkenaan penggunaan al-Quran sebagai perantaraan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT bagi mencapai hajat yang diingininya. Selain itu, membaca al-Quran termasuk di dalam amalan soleh, maka dibolehkan untuk bertawassul dengan amalan soleh untuk mencapai hajat yang diinginkan.

Justeru, kami datangkan maksud tawassul dari segi bahasa bermaksud taqarrub. Iaitu mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amalan kebaikan yang dilakukan dan meninggalkan perbuatan buruk.

Selain itu, tawassul juga memberi maksud mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan perantaraan. Ini seperti meminta doa kepada Allah SWT dengan nama atau sifat Allah SWT, atau menggunakan perantaraan dengan amalan soleh dan orang soleh yang masih hidup. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 14/149)

Allah SWT di dalam firman-Nya menyeru hamba-Nya supaya bertawassul kepada-Nya dengan amalan soleh. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepada-Nya (dengan mematuhi perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya).” (Surah al-Maidah: 35)

Syeikh al-Maraghi dalam menerangkan ayat di atas menyatakan: “al-Wasilah bermaksud apa yang menyampaikan sesuatu bertujuan mendapat keredhaan dan mendekatkannya kepada Allah SWT... Selain itu, barangsiapa yang berdoa kepada Allah SWT dengan menjadikan Nabi SAW sebagai perantaraan supaya mendapat syafaat maka ia merupakan sebahagian daripada doa dan amalan.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/109)

Tawassul Dengan al-Quran Sebagai Kalam Allah SWT

Bertawassul menggunakan al-Quran sebagai kalam Allah SWT bertujuan perantaraan bagi mencapai sesuatu matlamat. Para Fuqaha’ bersepakat, disunatkan untuk bertawassul menggunakan nama dan sifat Allah SWT bagi setiap urusan dunia dan akhirat. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 14/151)

Firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا ۖ وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ
“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya.” (Surah al-A’raf: 180)

Syeikh al-Sa’di di dalam tafsirnya menyatakan penggunaan sifat dan nama Allah SWT sebagai perantaraan di dalam doa merupakan perkara yang menyeluruh bagi setiap permasalahan dan perkara yang dikehendakinya. Sebagai contoh, doa menggunakan sifat Allah SWT, “Murahkanlah rezeki ke atasku wahai yang Maha Memberi Rezeki.” (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/309)

Selain itu, hadith yang diriwayatkan oleh Imran bin Hussain, aku mendengar daripada Baginda SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فَلْيَسْأَلِ اللَّهَ بِهِ فَإِنَّهُ سَيَجِيءُ أَقْوَامٌ يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ يَسْأَلُونَ بِهِ النَّاسَ
“Barangsiapa yang membaca al-Quran, maka hendaklah dia meminta kepada Allah dengannya. Ini kerana sesungguhnya akan datang sesuatu kaum, apabila membaca al-Quran kemudian mereka akan meminta-minta kepada manusia.” [Riwayat al-Tirmidzi (2917)]

Syeikh al-Mubarakfuri mensyarahkan hadith di atas menyatakan, iaitu meminta kepada Allah SWT dengan perantaraan al-Quran setiap apa urusan dunia dan akhirat. Atau sekiranya membaca al-Quran lalu pada ayat yang menceritakan berkenaan dengan rahmat Allah SWT, maka pintalah kepada Allah SWT untuk mendapatkannya (rahmat-Nya). (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/189)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan dan perbahasan yang didatangkan di atas, kami berpendapat, harus untuk beramal dan meminta sesuatu perkara dengan menggunakan perantaraan ayat suci al-Quran untuk mendapat habuan dunia dan akhirat.

Justeru, diharuskan untuk membaca surah al-Waqiah supaya mendapat kelebihan dan kekayaan seperti yang dinyatakan hadith di atas. Bahkan para Fuqaha’ bersepakat, disunatkan untuk bertawassul dengan amalan soleh serta menggunakan nama dan sifat Allah SWT dalam mendekatkan diri dan berdoa kepada-Nya.

Sebaiknya, kami menyarankan supaya membaca al-Quran untuk mendapat syafaat daripadanya dan ikhlas dalam beramal serta mencari keredhaan Allah SWT di dunia dan juga di akhirat. Ini seperti hadith yang diriwayatkan oleh Abu Umamah R.A, sabda Nabi SAW:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ
“Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya.” [Riwayat Muslim (804)]

Semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam melaksanakan setiap amalan agar setiap amalan yang dilakukan bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media