SOALAN:
Sekiranya adik perempuan kepada emak saya yang sama umur dengan saya bersentuhan dan tidak menutup aurat, apakah hukumnya?
JAWAPAN:
Adik beradik perempuan kepada ibu sama ada kakak atau adik perempuan adalah ibu-ibu saudara kepada seseorang. Ibu saudara adalah termasuk dalam kategori mahram buat seseorang lelaki. Mahram adalah individu yang diharamkan untuk seseorang berkahwin dengannya sama ada disebabkan hubungan rahim atau kerabat. Selain itu, dua lagi implikasi mahram adalah:
- Halal bersentuhan kulit.
- Boleh bersendirian bersamanya.
- Aurat dengannya tidak sama dengan orang ajnabi (bukan mahram).
Dalil yang menunjukkan bahawa ibu saudara adalah sebahagian daripada mahram adalah berdasarkan firman Allah S.W.T :
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا
“Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Nisa’: 23)
Dalil kemahramannya adalah pada perkataan:
وَخَالَاتُكُمْ
“(Dan diharamkan buat kamu orang lelaki) ibu-ibu saudara kamu dari sebelah emak kamu.”
Berdasarkan ayat di atas, Imam Al-Shirazi menyatakan bahawa tujuh kategori yang diharamkan ke atas seseorang lelaki dari sudut nasab adalah:
- Ibu.
- Anak perempuan.
- Adik beradik perempuan.
- Ibu saudara (adik beradik perempuan bapa).
- Ibu saudara (adik beradik perempuan ibu).
- Anak perempuan kepada adik beradik lelaki (anak saudara perempuan).
- Anak perempuan kepada adik beradik perempuan (anak saudara perempuan).
[Rujuk: Al-Muhazzab fi Al-Fiqh al-Syafi’e, Al-Shirazi (2/438)]
Manakala Syeikh Al-‘Imrani berkata:
وأما الخالة فيحرم عليه نكاح من يقع عليها اسم الخالة حقيقة وهي أخت أمه لأبيها وأمها، أو لأبيها، أو لأمها ويحرم عليه من يقع عليها اسم الخالة مجازا، وهي أخت كل جدة له من قبل أمه أو أبيه
“Adapun ibu saudara, maka haram ke atas seseorang lelaki itu untuk berkahwin dengan semua yang termasuk di bawah kategori ibu saudara secara hakiki. Iaitu: Adik beradik perempuan bagi ibunya yang seibu sebapa. Atau adik beradik perempuan sebapa (sama bapa namun ibu berbeza), atau adik beradik perempuan seibu (sama ibu namun bapa berbeza). Dan haram juga ke atas dirinya mereka yang termasuk sebagai ibu saudara secara majaz iaitu: Adik beradik perempuan kepada neneknya sama ada adik beradik perempuan seibu atau sebapa.” [Rujuk: Al-Bayan fi Mazhab Al-Syafi’e, Al-‘Imrani (9/39)]
Penutup
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa adik perempuan kepada emak anda adalah mahram bagi anda sekalipun umur keduanya adalah sama. Maka anda tidak boleh berkahwin dengannya selama-lamanya. Dalam masa yang sama, aurat di antara mahram adalah tidak sama dengan ajnabi (bukan mahram) dari sudut tidak wajib untuk seorang perempuan itu untuk menutup seluruh tubuh badannya kecuali muka dan kedua tapak tangannya di hadapan mahramnya.
Akhir kalam kami berdoa semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media