Hanya kerana selamatkan anak dari kebakaran berbanding gambar bapa & datuk Kim Jong Un, ibu ini dipenjara


Negara yang dipimpin oleh Kim Jong Un, Korea Utara, sememangnya terkenal sebagai negara yang sangat tertutup dengan dunia luar, selain mempunyai pelbagai peraturan atau undang-undang yang luar biasa. 

Salah satu kewajipan untuk rakyatnya adalah menggantung gambar mendiang pemimpin Korea Utara iaitu Kim Jong Il dan Kim Il Sung yang merupakan bapa dan datuk kepada Kim Jong Un. 

Setiap rumah rakyat akan diperiksa sama ada mereka benar-benar menggantung gambar itu atau tidak. Apabila gambar itu tidak digantung atau dibersihkan, maka pemilik rumah akan dianggap melakukan kesalahan. Malah, gambar itu harus digantung pada tempat tinggi dan tiada benda lain yang boleh digantung lebih tinggi dari gambar itu. 

Terkini seorang ibu kepada dua anak dikenakan hukuman penjara kerana tidak menyelamatkan dua gambar pemimpin itu dari rumahnya ketika berlaku kebakaran. 

Difahamkan, rumah yang dihuni oleh dua keluarga itu di Onsong, Hamgyong Utara, berhampiran sempadan China, mengalami kebakaran. 

Sudah tentu penghuni rumah itu memilih untuk menyelamatkan nyawa anak-anak terlebih dahulu berbanding harta benda lain. 

Kediaman keluarga itu akhirnya musnah terbakar termasuk gambar dua pemimpin berkenaan. 

Ekoran kejadian itu, si ibu ditahan dan disiasat oleh pihak berkuasa dan tidak dibenarkan mendapatkan rawatan bagi kecederaan yang dialaminya ketika kejadian itu. Ini termasuk dia dilarang dari melihat dan merawat anak-anaknya yang cedera. 

Jiran-jiran pula enggan membantu keluarga malang itu kerana tidak mahu dikenakan tindakan dan memilih untuk berdiam diri. 

Setelah selesai menjalani hukuman, si ibu segera mendapatkan rawatan untuk anak-anaknya. 

Di Korea Utara, rakyatnya yang menyelamatkan gambar-gambar keluarga Kim dari bencana seperti banjir dan kebakaran akan diberi pujian sebagai pahlawan. Apatah lagi jika mereka hilang nyawa ketika berbuat demikian. 


Sumber : thereporter.my