Graduan Diseru Jadikan Pertanian Sebagai Kerjaya


KUALA TERENGGANU, 17 Januari - Jabatan Pertanian Terengganu disaran melipat gandakan usaha agar sektor pertanian menjadi pilihan kepada para graduan, sebagai kerjaya yang menghasilkan pulangan lumayan.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Dato' Yahaya Ali berkata, kerajaan negeri melihat pertanian menjadi sektor yang diminati oleh rakyat negeri khususnya golongan muda termasuk kalangan lepasan pusat pengajian tinggi.

"Yang mana bidang pertanian itu boleh menjadi kerjaya dalam kehidupan mereka," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas lawatan kerja ke dua projek iaitu fertigasi tanaman cili di Jambu Bongkok dan tanaman kelapa di Batu Putih semalam.

Turut hadir , Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Kemudahan Awam Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Ir Saiful Azmi Suhaili dan Timbalan Pengerusi ll Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ab.Razak Ibrahim.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi,  ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, ADUN Bandar, Ahmad Shah Mohamed, ADUN Ajil Maliaman Kassim dan Pengerusi Mawaddah Negeri Terengganu, To' Puan Zarani  Othman.

Tambah Yahaya lagi, beliau juga  berharap sektor pertanian akan menjadi sektor yang semakin penting dalam konteks pertumbuhan ekonomi di negeri Terengganu.





Menurutnya, tujuan lawatan pada kali ini adalah untuk membuat tinjaun secara langsung (first hand) apa yang telah dan sedang berlaku berkenaan projek pertanian di negeri Terengganu.

"Kita lihat projek fertigasi di Jambu Bongkok yang mana usahawan berkenaan dari segi hasilnya mendapat  hampir jutaan ringgit.

"Nak mengambarkan bahawa projek pertanian sekiranya diberikan tumpuan yang khusus dengan menggunakan teknologi moden dan juga kemudahan infra yang  sepatutnya, akan mendapat hasil" jelas beliau.

Dalam pada, beliau berharap pihak Jabatan Pertanian dengan bantuan peruntukan samada kerajaan negeri ataupun pusat akan memberi fokus yang khusus kepada projek pertanian agar ia dapat menghasilkan usahawan yang berjaya.

"Zaman sekarang ini ramai lepasan universiti yang menganggur dan mereka sedang mencari-cari peluang pekerjaan yang mereka boleh dapat.


"Pokoknya mereka perlu mengubah minda mereka  supaya  tidak lagi fikir bila keluar dari pusat pengajian tinggi nak kerja kerajaan, makan gaji.

"Sedangkan peluang mereka  dalam bidang pertanian ini cukup besar dan mendatangkan pulangan yang lebih baik," tambah beliau.


Sumber: teganukita.net