Gagal Manfaat Peluang, THT Berputih Mata

Aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional.

KUALA LUMPUR, 11 Januari - Kegagalan memanfaatkan beberapa peluang keemasan menyebabkan Pasukan Hoki Terengganu (THT) terpaksa berputih apabila gagal mempertahankan Piala Sumbangsih yang dimenangi musim lalu.

Ketua Jurulatih THT, Dhaarma Raj Abdullah berkata, anak buahnya bermain baik apabila mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol, ia terbukti dengan dua jaringan THT terhasil menerusi gerakan menarik para pemainnya.

"Dalam beberapa masa kita menunjukkan permainan yang cukup bagus, tetapi apa yang membezakan UniKL dan THT adalah peluang pukulan sudut penalti.

"UniKL cukup klinikal dalam peluang itu, manakala kita pula gagal, apa pun kita cemerlang dengan dua jaringan padang," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan.
Dhaarma Raj.
Sementara itu, Kapten THT, Fitri Saari pula mahu rakan sepasukan terus bangkit mencari mata penuh dalam perlawanan selepas ini.

"Malam ini kita kehilangan piala dan mata, untuk perlawanan seterusnya menentang TNB kita harap penyudah kita akan lebih tajam," katanya.

Menurut penyerang THT, Faizal Saari, beliau mengakui ketumpulan menyudahkan pukulan sudut penalti menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.

"Pukulan sudut penalti hari ini kita gagal mungkin kerana pihak lawan sudah mengkaji THT punya taktikal, dan disebabkan itu kita kehilangan mata," ujar penjaring dua gol THT itu.

Dalam perlawanan pembukaan TNB Liga Hoki Malaysia (MHL) itu, UniKL meraih gelaran Piala Sumbangsih buat kali pertama dalam sejarah selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas THT di Stadium Hoki Nasional semalam.

Fitri dan Faizal Saari.
Kedua-dua pasukan tampil dengan corak permainan terbuka namun jaringan yang dinantikan hanya tiba pada minit ke-19 apabila Muhammad Razie Abd Rahim memberikan pendahuluan buat UniKL hasil pukulan sudut penalti.

Faizal Saari pada minit ke-26 dan ke-36 kemudiannya menemui sentuhan jaringan apabila berjaya meletakkan THT 2-1 di hadapan.

Namun ia tidak bertahan lama, seminit berselang UniKL mengikat kedudukan apabila Razie sekali lagi memanfaatkan pukulan sudut penalti sebelum Pemain import baharu UniKL dari Belanda, Roel Bovendeert melengkapkan malam gemilang UniKL minit ke-50.



Sumber: teganukita.net