'Fobia nak guna tandas' - Wanita dipatuk ular ketika menggunakan tandas duduk


Seorang wanita di Thailand berdepan dengan detik cemas apabila dia dipatuk ular ketika menggunakan tandas duduk di bilik air. 

Gambar-gambar di lokasi kejadian menunjukkan banyak kesan darah di dinding dan lantai selepas ular itu mematuk pahanya. 

Anak mangsa, Chunya Sittiwichai, memuat naik gambar-gambar kejadian itu di Facebook menunjukkan reptilia itu telah mati.

Chunya berkata, ibunya menangkap kepala ular itu dan cuba melepaskan lilitan haiwan itu di pahanya yang terlalu ketat, tetapi gagal, menyebabkan darah memancut-mancut keluar dari kakinya. 

Mangsa kemudian menjerit meminta pertolongan dari anaknya sebelum Chunya masuk dengan membawa pisau dan tukul. 

"Mak gunakan pisau untuk tikam ular itu tetapi disebabkan kulitnya kasar menyebabkan mak secara tidak sengaja tertikam dirinya dengan kedalaman luka 3 sentimeter. 

"Mak hampir pengsan dan ular itu pula berterusan melilit pahanya. Tapi mak berjaya menghentikan ular itu dari terus menyerangnya. 

"Mak tekan kepala ular itu di lantai dan menjerit memanggil adik saya untuk bawakan tukul. Selepas memukul ular itu bertubi-tubi bagaikan tiada hari esok, akhirnya ular itu mati. Adik tarik mak keluar dan kunci pintu bilik air," katanya. 

Mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan. 

"Mak memang berani, saya hampir pengsan tadi. Lepas ni saya kan periksa tandas sebelum guna walaupun kelihatan mustahil ular masuk ke dalam tandas," katanya. 

Sumber: Mirror  


Sumber : thereporter.my