Kem Terengganu Football Club (TFC) mencetuskan sedikit keresahan dalam kalangan penyokong apabila pemain tengah licik, Faiz Nasir ditimpa kecederaan semasa kempen pramusim tempoh hari.
Kecederaan yang dialami oleh pemain berusia 27 tahun itu menyebabkan dia terlepas beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini. Namun Faiz yang kembali menyertai TFC setelah semusim bersama Selangor turut dilihat menyertai jelajah pramusim bersama pasukan di Thailand.
Ketua jurulatih, Nafuzi Zain mempunyai keyakinan tinggi Faiz mampu pulih sepenuhnya menjelang saingan pembukaan Liga Super 2020 menentang Perak di halaman sendiri, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 29 februari hadapan.
“Faiz dijangka akan pulih sepenuhnya menjelang sepak mula Liga Super 29 Februari nanti, dia dah mula berlatih bersama pasukan.
“Mungkin dalam seminggu dua ini Faiz akan cergas seperti biasa dan dapat digandingkan dengan pemain-pemain lain,” jelas Nafuzi seperti dipetik daripada laman Teganu Kita.
TFC dijadualkan menentang 3 pasukan sepanjang berada di Thailand iaitu Police Tero FC, Suphanburi FC dan sebuah pasukan daripada China, Tianjin Teda FC masing-masing pada 30hb januari, 1hb dan 3hb februari di Alpine Football Camp Training.
Sementara itu, Nafuzi Zain turut mengesahkan penyerang yang digelar The Silent Killer atau Ashari Samsudin menggantung but sekaligus mengumumkan persaraannya sebagai pemain bola sepak profesional.
Sungguhpun masih mempunyai perancangan untuk menggunakan khidmat Ashari pada saingan Liga Malaysia 2020, Nafuzi dan barisan kejurulatihan termasuk pihak pengurusan menghormati keputusan yang dilakukan oleh penyerang itu.
“Bagi saya, dia adalah pemain tempatan yang berkualiti dan sememangnya kami memerlukan khidmat Saha (Ashari), sejak awal kami telah menawarkan kontrak padanya.
“Tetapi keputusan itu (bersara) telah dibuat olehnya, dan itu pilihannya, kami menghormati keputusan itu,” katanya lagi. - Foxsports