Viral di media sosial notis peringatan yang diterima seorang wanita di mana anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menasihatinya untuk menggunakan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak sekiranya membawa penumpang kanak-kanak.
Peraturan itu termaktub dalam Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) (Pindaan) 2019 di mana penumpang kanak-kanak perlu ditempatkan di Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak.
Jika peraturan itu tidak dipatuhi, pemandu boleh dikompaun tidak melebihi RM300 atau boleh didakwa di mahkamah dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan.
Bagaimanapun, pada fasa perlaksanaan peraturan itu bagi tempoh 6 bulan pertama, JPJ hanya memberikan notis peringatan dan didikan. Selepas tamat tempoh itu, maka tindakan sebenar akan dikenakan terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan tersebut.
Netizen menerima baik usaha kerajaan meningkatkan keselamatan penumpang kanak-kanak, tetapi yang masih menjadi perdebatan terutamanya di kalangan ibu bapa adalah, bagaimana sekiranya sesebuah keluarga itu mempunyai anak yang ramai dan memiliki kereta kecil, adalah mustahil untuk menyediakan kerusi keselamatan itu.
"Dapat surat cinta dari abang JPJ. Bila JPJ buat roadblock, kau kena tahan. Sebab anak kau belakang tak pakai carseat. Anak tiga orang oi, takkan tiga carseat belakang penuh?
"Nasiblah surat amaran je. Bulan 6 berkuatkuasa carseat untuk bayi 0-12 tahun kena pakai juga," tulis wanita yang menerima notis tersebut.
Sehingga ke hari ini, pihak berkenaan masih belum memberi respon mengenai kebimbangan yang diutarakan oleh golongan ibu bapa. Bukannya mereka tidak mahu mematuhi peraturan atau memberikan alasan, tetapi pihak kerajaan perlu mengambil kira akan kemampuan mereka yang terhad.
Apa kata anda?
Sumber: Facebook
Sumber : thereporter.my