SOALAN:
Saya nak bertanya mengenai kemusykilan aurat. Saya telah bernikah dengan suami yang berstatus duda dan dia ada membesarkan cucu saudaranya dari bayi lagi. Jadi bagaimana aurat saya dengan anak ini. Anak ini seorang lelaki berumur 19 tahun kini. Apakah saya boleh bersalam dengan dia. Boleh ke saya tak bertudung bila dia ada di rumah?
JAWAPAN:
Dari sudut bahasa, terdapat beberapa pengertian bagi perkataan mahram. Antaranya kami ringkaskan dalam beberapa noktah berikut:
• Individu yang diharamkan untuk seseorang berkahwin dengannya sama ada disebabkan hubungan rahim atau kerabat.
• Sesuatu yang diharamkan oleh Allah SWT.
Manakala dari sudut istilah para fuqaha’ mahram bermaksud: “Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang.” [Rujuk Kaasyifah al-Saja, Nawawi bin ‘Umar (Hlm. 114)]
Dalam menghuraikan makna-makna ayat dalam pendefinisian di atas, kami perincikan ia seperti berikut:
Pada perkataan ‘dalam bentuk al-ta’bid’ membawa maksud: “Ia tidak termasuk adik beradik perempuan kepada isteri. Begitu juga ibu saudara isteri dari sebelah ayah dan juga ibu saudara isteri dari sebelah ibu. Ini kerana pengharaman mereka itu dari sudut apabila dihimpunkan bersama sahaja (iaitu berkahwin dalam masa yang sama antara isteri dan ibu-ibu saudara mereka atau adik beradik perempuan mereka).”
Manakala perkataan ‘bukan kerana kemuliaannya’ merujuk kepada isteri-isteri Nabi SAW. Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan kemuliaan mereka. Mereka diharamkan kepada keseluruhan umat dan juga ke atas para Nabi juga.
Dan perkataan ‘bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’ adalah seperti wanita Majusi, ataupun wanita yang murtad. Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan penghalang yang boleh hilang. Maka boleh menjadi halal pada waktu yang lain (seperti apabila mereka memeluk Islam).
Penjelasan berkenaan dengan golongan yang dianggap sebagai mahram ini ada dinyatakan dalam firman Allah SWT:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا
“Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [Surah Al-Nisa’ (23)]
Imam Al-Mawardi Rahimahullah menukilkan kata-kata Imam Al-Syafi’e yang menyebut:
أَصْلُ مَا يَحْرُمُ بِهِ النِّسَاءُ ضَرْبَانِ أَحَدُهُمَا بأنسابٍ، وَالْآخَرُ بأسبابٍ مِنْ حَادِثِ نكاحٍ أَوْ رضاعٍ
“Asal perkara yang menjadikan seorang wanita itu mahram adalah dua bahagian. Pertamanya adalah ansab (nasab keturunan) dan berikutnya adalah asbab (sebab-sebab), iaitu daripada pernikahan atau susuan.” [Rujuk Al-Hawi Al-Kabir, Al-Mawardi (9/196)]
Kemudian Imam Al-Mawardi menghuraikannya dengan lebih lanjut melalui katanya: “Wanita yang mahram itu ada dua kategori. Pertamanya, bahagian yang mana individu ini haram secara selamanya. Manakala bahagian yang lain adalah haram untuk dihimpunkan (dalam satu masa yang sama sahaja). Dan bahagian yang individunya menjadi mahram selamanya ada dua bahagian iaitu melalui nasab serta asbab (perkahwinan dan susuan).” [Rujuk Al-Hawi Al-Kabir, Al-Mawardi (9/196)]
Implikasi mahram dalam kategori nasab dan juga asbab (perkahwinan dan susuan) ini adalah seperti berikut:
• Haram berkahwin dengannya.
• Boleh bersalaman dengannya.
• Boleh bersendirian (berkhalwat) bersamanya.
Oleh yang demikian, berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas kami menyatakan bahawa isteri kepada datuk saudara tidak termasuk dalam kalangan mahram berdasarkan nas dari surah Al-Nisa’ ayat ke-23 tersebut.
Antara yang termasuk dalam kategori bukan mahram ini adalah isteri kepada bapa saudara dari sebelah ayah iaitu العم, isteri kepada bapa saudara dari sebelah ibu iaitu الخال dan juga isteri kepada adik beradik lelaki. Dan konsep yang diguna pakai di sisi para fuqaha’ ialah isteri kepada bapa saudara ke atas, maka termasuklah isteri kepada datuk saudara maka mereka ini adalah dianggap sebagai wanita ajnabi kepada seseorang lelaki.
Penutup
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa isteri kepada datuk saudara adalah wanita ajnabiyyah bagi seorang lelaki dari sudut bukan mahram baginya. Justeru, seorang wanita perlu menjaga batasan aurat dari sudut seluruh tubuh badan melainkan muka dan tapak tangan juga menjaga perhubungan serta tidak boleh bersalaman dengan cucu saudara lelaki kepada suaminya. Ini kerana, secara umumnya wanita-wanita yang tidak disebutkan sebagai muharramat (wanita mahram) di dalam Surah Al-Nisa’ ayat ke-23 tersebut dikategorikan sebagai wanita ajnabi.
Akhir kalam, kami berdoa semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua di dalam beragama. Ameen.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media