SOALAN:
Benarkah seorang non-Muslim, apabila dia memeluk Islam, maka amalan kebaikan yang dilakukannya sebelum memeluk Islam turut dikira oleh Allah SWT?
JAWAPAN:
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam R.A, katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, apa pandangan tuan terhadap perbuatan-perbuatan baik yang saya lakukan sewaktu masa Jahiliyyah seperti sedekah, membebaskan hamba atau menyambung silaturrahim. Adakah padanya terdapat ganjaran pahala? Maka Nabi SAW menjawab:
أَسْلَمْتَ عَلَى مَا سَلَفَ مِنْ خَيْرٍ
“Engkau telah masuk Islam beserta semua kebaikanmu yang dahulu.” [Riwayat al-Bukhari (1436) dan Muslim (123)]
Dalam menjelaskan hadith di atas, Ibn Battal dalam Syarh Sahih al-Bukhari (9/209) menyebut: “Dalam hadith ini, Allah SWT memberikan keutamaan kepada orang yang masuk Islam dari golongan Ahli Kitab dengan memberikannya pahala atas kebaikan-kebaikan yang pernah dilakukannya ketika masa Jahiliyyah. Hal ini juga sesuai dengan hadith Nabi yang lainnya, iaitu: “Apabila seorang yang kafir masuk Islam dan berislam dengan baik, maka Allah akan mencatat semua amal kebaikan yang pernah ia lakukan (sebelum masuk Islam).”
Di tempat yang lain, beliau turut menjelaskan: “Sebahagian ulama’ berkata: Maksud hadith di atas ialah bahawa setiap orang musyrik yang masuk Islam, akan dicatat semua pahala dari amal kebaikan yang pernah dia lakukan sebelum masuk Islam. Dan tidak dicatat semua kejahatannya. Kerana Islam telah menghapus segala bentuk kesyirikan sebelumnya dan mencatat semua kebaikannya.” (Lihat: Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 9/209)
Imam Badr al-Din al-‘Aini pula dalam Umdah al-Qari menyebut: “Dan diriwayatkan bahawa kebaikan-kebaikan orang kafir yang akhirnya memeluk Islam akan diterima dan dihitung (menjadi pahala ibadah) baginya. Namun, sekiranya dia mati (tetap) dalam kekufuran, maka hanguslah semua amal kebaikannya.” (Lihat: Umdah al-Qari, 8/303)
Dalam sebuah hadith lain, daripada Abi Sa’id al-Khudri, Nabi SAW bersabda:
إِذَا أَسْلَمَ الْعَبْدُ فَحَسُنَ إِسْلَامُهُ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ كُلَّ حَسَنَةٍ كَانَ أَزْلَفَهَا وَمُحِيَتْ عَنْهُ كُلُّ سَيِّئَةٍ كَانَ أَزْلَفَهَا
“Apabila seseorang hamba itu telah masuk Islam, lalu berislam dengan baik, nescaya Allah akan menulis baginya (memberi pahala) semua kebajikan yang telah lalu, dan menghapuskan segala kejahatan yang telah lalu.” [Riwayat al-Nasaie (4912)]
Al-Sindi dalam menjelaskan hadith ini berkata: “Hadith ini menunjukkan bahawa kebaikan-kebaikan yang dilakukan orang kafir ditawaqqufkan terlebih dahulu. Sekiranya dia masuk Islam, maka barulah diterima (dicatat amal tersebut baginya).” (Lihat: Sunan al-Nasaie bi Hasyiyah al-Sindi, 4/480)
Ada juga pendapat yang menyebut bahawa amal kebaikan mereka adalah tidak dicatat. Ini sepertimana disebut oleh al-Maziri: “(Seorang yang kafir) tidak ada pahala bagi amalan soleh yang dilakukannya ketika dia masih syirik. Ini kerana antara syarat amalan mendekatkan diri kepada Allah, hendaklah dia mengetahui kepada siapa dia mendekatkan diri kepada, sedangkan orang kafir tidak demikian.” (Lihat: Fath al-Bari, 1/183)
Namun Imam Nawawi sebaliknya menegaskan: “Yang benar dan merupakan pendapat ahli tahqiq –bahkan telah dinukilkan oleh sebahagian mereka bahawa terdapat ijma’ padanya– adalah seorang kafir apabila dia melakukan perkara-perkara yang baik seperti bersedekah, menyambung silaturrahim, kemudian dia masuk Islam dan kemudian mati dalam keadaan Islam, pahala tersebut dicatatkan baginya..” (Lihat: al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 1/141)
Hal ini juga sepertimana kenyataan al-Hafiz Ibn Hajar yang menyebut bahawa penerimaan amalan (semasa kafir) adalah bergantung kepada sama ada seseorang kafir itu masuk Islam atau tidak. Sekiranya dia masuk Islam, maka dicatat amalannya terdahulu. Sebaliknya jika tidak, maka tidak dikira amalan kebaikannya. Pendapat ini adalah kuat. Inilah yang dipegang oleh al-Nawawi, Ibrahim al-Harbi dan selain mereka seperti al-Qurtubi dan Ibn al-Munir dari kalangan muta’akhirin. (Lihat: Fath al-Bari, 1/123)
Kesimpulan
Kami berpendapat bahawa penerimaan amalan kebaikan yang dilakukan oleh seorang kafir adalah bergantung kepada keislamannya. Jika dia masuk Islam dan meninggal dalam keadaan Islam, maka dicatat pahala kebaikannya yang terdahulu semasa dia masih kafir. Sekiranya tidak, maka tidak dicatat pahala kebaikan tersebut kepada mereka.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita ilmu dan kefahaman serta menetapkan iman kita sehingga kita ke penghujung usia. Amin.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media