SOALAN:
Pernahkah Sayyidatina Khadijah R.Anha meriwayatkan hadith daripada Rasulullah SAW? Saya sering mendengar kisah-kisah berkenaan Khadijah dalam sirah Baginda dan beberapa hadith, tapi tidak pernah bertemu hadith yang beliau riwayatkan. Ini berbeza dengan Sayyidatina Aisyah yang sangat banyak meriwayatkan hadith.
JAWAPAN:
Beliau ialah Ummul Mukminin Sayyidatina Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin Abd al-‘Uzza bin Qusay bin Kilab, pemimpin wanita pada zamannya, ibu bagi anak-anak Nabi SAW, manusia pertama yang beriman dengan risalah kenabian Baginda. Beliau seorang yang sangat bijak, mulia, taat beragama, terjaga daripada sifat tercela dan dijamin sebagai ahli syurga. Nabi SAW juga sering memuji dan melebihkan beliau ke atas seluruh isteri Baginda yang lain.
Beliaulah yang telah membawa Baginda bertemu dengan Waraqah bin Naufal, seorang pendeta Kristian setelah Baginda didatangi Jibril dan dikurniakan wahyu yang pertama. (Rujuk Siyar A’lam al-Nubalaa’ 2/109)
Peristiwa ini tercatat dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidatina Aisyah R.Anha, dimana Baginda SAW merasa sangat takut setelah didatangi Jibril A.S, lalu pulang ke rumah dan bersabda kepada Sayyidatina Khadijah:
" زَمِّلُونِي زَمِّلُونِي ". فَزَمَّلُوهُ حَتَّى ذَهَبَ عَنْهُ الرَّوْعُ، فَقَالَ لِخَدِيجَةَ وَأَخْبَرَهَا الْخَبَرَ " لَقَدْ خَشِيتُ عَلَى نَفْسِي ". فَقَالَتْ خَدِيجَةُ كَلاَّ وَاللَّهِ مَا يُخْزِيكَ اللَّهُ أَبَدًا، إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ، وَتَحْمِلُ الْكَلَّ، وَتَكْسِبُ الْمَعْدُومَ، وَتَقْرِي الضَّيْفَ، وَتُعِينُ عَلَى نَوَائِبِ الْحَقِّ. فَانْطَلَقَتْ بِهِ خَدِيجَةُ حَتَّى أَتَتْ بِهِ وَرَقَةَ بْنَ نَوْفَلِ بْنِ أَسَدِ بْنِ عَبْدِ الْعُزَّى ابْنَ عَمِّ خَدِيجَةَ ـ وَكَانَ امْرَأً تَنَصَّرَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ، وَكَانَ يَكْتُبُ الْكِتَابَ الْعِبْرَانِيَّ، فَيَكْتُبُ مِنَ الإِنْجِيلِ بِالْعِبْرَانِيَّةِ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَكْتُبَ، وَكَانَ شَيْخًا كَبِيرًا قَدْ عَمِيَ ـ فَقَالَتْ لَهُ خَدِيجَةُ يَا ابْنَ عَمِّ اسْمَعْ مِنَ ابْنِ أَخِيكَ. فَقَالَ لَهُ وَرَقَةُ يَا ابْنَ أَخِي مَاذَا تَرَى فَأَخْبَرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم خَبَرَ مَا رَأَى. فَقَالَ لَهُ وَرَقَةُ هَذَا النَّامُوسُ الَّذِي نَزَّلَ اللَّهُ عَلَى مُوسَى صلى الله عليه وسلم يَا لَيْتَنِي فِيهَا جَذَعًا، لَيْتَنِي أَكُونُ حَيًّا إِذْ يُخْرِجُكَ قَوْمُكَ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " أَوَمُخْرِجِيَّ هُمْ ". قَالَ نَعَمْ، لَمْ يَأْتِ رَجُلٌ قَطُّ بِمِثْلِ مَا جِئْتَ بِهِ إِلاَّ عُودِيَ، وَإِنْ يُدْرِكْنِي يَوْمُكَ أَنْصُرْكَ نَصْرًا مُؤَزَّرًا. ثُمَّ لَمْ يَنْشَبْ وَرَقَةُ أَنْ تُوُفِّيَ وَفَتَرَ الْوَحْىُ.
“Selimutkan aku, selimutkan aku!” Maka ahli keluarga Nabi SAW pun menyelimutkan Baginda hingga hilang rasa takut. Baginda pun bersabda: “Wahai Khadijah, apa yang telah berlaku kepadaku? Aku bimbang akan keadaan diriku.” Khadijah menjawab: “Bergembiralah, demi Allah, Dia tidak akan sesekali menghinamu. Demi Allah, kamu menjalinkan silaturahim, berkata yang benar, meringankan beban orang lain, membantu golongan susah, melayani tetamu dan membantu mereka yang ditimpa bencana.”
Khadijah kemudiannya membawa Baginda bertemu Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul ‘Uzza, bapa saudara Khadijah, dan dia memeluk agama Kristian sewaktu zaman Jahiliyah, dan dia ada menulis buku-buku serta kitab Injil dalam bahasa Ibrani. Dia merupakan seorang yang sudah tua dan buta.
Khadijah berkata kepadanya: “Wahai bapa saudaraku, dengarkan apa yang anak saudaramu ingin perkatakan.” Waraqah berkata: “Wahai anak saudaraku, apa yang kamu lihat?” Nabi menceritakan apa yang dilihatnya, lalu Waraqah berkata: “Dia lah Malaikat yang Tuhan utuskan kepada Musa. Alangkah bagus jika aku masih muda sewaktu tempoh kenabianmu. Alangkah bagus andainya aku masih hidup sewaktu kaummu mengusirmu!”
Nabi SAW bertanya: “Apakah mereka akan mengusirku?” Waraqah menjawab: “Ya, tidak pernah datang seorang lelaki yang membawa risalah sepertimu kecuali dia akan ditentang dengan keras. Jika aku masih hidup ketika itu, pasti aku akan membantumu sepenuh hatiku.” [Sahih al-Bukhari (3) dan Sahih Muslim (160)]
Sayyidatina Khadijah juga pernah diiktiraf oleh Nabi Muhammad SAW sebagai wanita terbaik melalui hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bin Abu Talib R.A:
خَيْرُ نِسَائِهَا مَرْيَمُ ابْنَةُ عِمْرَانَ ، وَخَيْرُ نِسَائِهَا خَدِيجَةُ
“Wanita terbaik yang pernah ada ialah Maryam binti Imran dan Khadijah.” [Sahih al-Bukhari (3432) dan Sahih Muslim (2430)]
Menurut Imam al-Nawawi, difahami daripada hadith ini bahawa Maryam dan Khadijah merupakan wanita terbaik pada zaman masing-masing. (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim 15/176)
Selain itu, Nabi SAW juga tidak berkahwin dengan wanita lain semasa Sayyidatina Khadijah R.Anha masih hidup. Kata Sayyidatina Aisyah R.Anha:
لَمْ يَتَزَوَّجْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى خَدِيجَةَ حَتَّى مَاتَتْ
“Nabi SAW tidak pernah berkahwin dengan wanita lain sehinggalah Khadijah meninggal dunia.” [Sahih Muslim (2426)]
Sayyidatina Khadijah juga diberikan khabar gembira akan ganjaran syurga oleh Jibril A.S dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:
فَأَقْرِئْهَا مِنْ رَبِّهَا السَّلاَمَ وَبَشِّرْهَا بِبَيْتٍ مِنْ قَصَبٍ لاَ صَخَبَ فِيهِ وَلاَ نَصَبَ
“Sampaikan salam daripada Tuhannya al-Salam, dan berikan kepada berita gembira akan sebuah rumah di syurga yang diperbuat daripada qasab, di mana tiada bunyi bising atau keletihan.” [Sahih al-Bukhari (7497)]
Adakah Sayyidatina Khadijah ada meriwayatkan hadith?
Sebahagian ulama', antaranya Ibnu Hibban dan Ibnu al-Jauzi mengkategorikan Sayyidatina Khadijah sebahagian daripada mereka yang ada meriwayatkan satu hadith daripada Nabi SAW. (Rujuk Al-Thiqaat 3/114 dan Talqih Fuhum Ahl al-Athar hlm. 258)
Disana terdapat satu riwayat hadith daripada Khadijah R.Anha, melalui jalan periwayatan Muhammad bin Ishaq, dimana Khadijah berkata kepada Rasulullah SAW:
يَا ابْنَ عَمِّ ، هَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تُخْبِرَنِيَ بِصَاحِبِكَ هَذَا الَّذِي يَأْتِيكَ إِذَا جَاءَكَ ؟ قَالَ : ( نَعَمْ ) قَالَتْ : فَإِذَا جَاءَكَ فَأَخْبِرْنِي ، فَبَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَهَا يَوْمًا ، إِذْ جَاءَهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَامُ ، فَرَآهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ : ( يَا خَدِيجَةُ ، هَذَا جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَامُ قَدْ جَاءَنِي ). قَالَتْ : أَتُرَاهُ الْآنَ ؟ قَالَ : ( نَعَمْ )
فَقَالَتْ : " فَاجْلِسْ إِلَى شِقِّي الْأَيْسَرِ " . فَجَلَسَ . فَقَالَتْ : هَلْ تَرَاهُ الْآنَ ؟ قَالَ : ( نَعَمْ ) قَالَتْ : " فَاجْلِسْ إِلَى شَقِّيَ الْأَيْمَنِ " . فَتَحَوَّلَ فَجَلَسَ . فَقَالَتْ : هَلْ تَرَاهُ الْآنَ ؟ قَالَ : ( نَعَمْ ) .
قَالَتْ : " فَتَحَوَّلَ فَاجْلِسْ فِي حِجْرِي " . فَتَحَوَّلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَلَسَ ، فَقَالَتْ هَلْ تَرَاهُ الْآنَ ؟ قَالَ : ( نَعَمْ ) ، فَتَحَسَّرَتْ ، فَأَلْقَتْ خِمَارَهَا ، فَقَالَتْ : هَلْ تَرَاهُ الْآنَ ؟ قَالَ : ( لَا ) قَالَتْ : " مَا هَذَا بِشَيْطَانٍ ، إِنَّ هَذَا الْمَلَكُ يَا ابْنَ الْعَمِّ ، فَاثْبُتْ ، وَأَبْشِرْ ".ثُمَّ آمَنَتْ بِهِ ، وَشَهِدَتْ أَنَّ الَّذِيَ جَاءَ بِهِ الْحَقُّ .
“Wahai saudaraku (yakni Rasulullah, kerana jalur keturunan Rasulullah dan Khadijah bertemu pada Abdul ‘Uzza), bolehkah kamu ceritakan kepadaku tentang Jibril yang datang kepadamu?” Rasulullah menjawab: “Ya, boleh.”
Maka suatu hari sewaktu Rasulullah bersama dengan Khadijah, Baginda didatangi oleh Jibril, lalu Baginda bersabda: “Wahai Khadijah, ini Jibril telah datang kepadaku.”
Khadijah bertanya: “Apakah kamu melihatnya sekarang?” Rasulullah menjawab: “Ya.” Khadijah berkata: “Duduklah pada sebelah kiriku.” Rasulullah pun duduk, dan Khadijah bertanya lagi: “Adakah kamu melihatnya sekarang?” Rasulullah menjawab “Ya.” Khadijah berkata: “Duduklah pada sebelah kananku”, dan Rasulullah berpaling dan duduk, lalu dia Khadijah berkata: “Apakah kamu melihatnya sekarang?” Rasulullah menjawab “Ya.”
Khadijah pun berkata: “Duduklah pada belakangku”, lalu Rasulullah berpaling dan duduk, Khadijah bertanya: “Apakah kamu melihatnya sekarang?” Rasulullah menjawab “Ya.” Khadijah pun mengeluh, lalu membuka khimarnya dan bertanya: “Apakah kamu melihatnya sekarang?” Rasulullah menjawab: “Tidak.” Khadijah berkata: “Ini bukanlah syaitan, sesungguhnya ini ialah Malaikat, maka tetaplah kamu, dan sampaikanlah berita gembira ini.” Kemudiannya dia beriman, dan bersaksi bahawa apa yang datang kepada Nabi SAW itu adalah benar.
[Diriwayatkan oleh al-Aajurri dalam al-Syari’ah (5/2189) Imam al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah (2/151) dan Imam Tobarani (6435) dengan lafaz yang berbeza]
Kisah ini turut disebut dalam beberapa kitab yang masyhur, antaranya Al-Muwafaqat oleh Imam al-Syatibi dan Al-Khasa’is al-Kubra oleh Imam al-Suyuti.
Menurut Ibnu Hajar al-Haithami, sanad hadith ini adalah hasan (baik). (Rujuk Majma’ al-Zawa’id 8/259)
Namun hadith ini bermasalah dari sudut sanad, dimana salah seorang perawi dalam sanad hadith ini iaitu Ismail bin Abi Hakim tidak pernah berjumpa dengan Khadijah R.Anha, dan tiada riwayat yang menyatakan bahawa beliau pernah mendengar hadith daripada mana-mana sahabat. Hadith ini juga dinilai sebagai mursal oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, manakala Syeikh Syu’aib al-Arna’ut pula menilai para perawi hadith dalam sanad ini sebagai tsiqah (dipercayai), namun sanadnya munqati’ (terputus). (Rujuk Ma Syaa’a wa lam Yathbut fi al-Sirah al-Nabawiyyah hlm. 27; Fath al-Bari 8/591; Takhrij Siyar al-A’lam al-Nubala’ 2/116)
Kesimpulan
Tuntasnya, terdapat satu riwayat hadith yang dinisbahkan kepada Sayyidatina Khadijah berkenaan penurunan wahyu kepada Nabi Muhammad SAW, namun ia tidak terlepas daripada kritikan dari sudut sanad oleh para ulama', di samping ada juga yang menilainya sebagai baik (hasan).
Namun jika Sayyidatina Khadijah R.Anha tiada meriwayatkan hadith yang berstatus sahih sekalipun, ia tidak mengurangkan martabat dan kemuliaan beliau yang diperakui sendiri oleh Baginda Nabi SAW sebagai wanita terbaik pada zamannya, manusia pertama yang beriman dengan risalah kenabian dan diberi jaminan syurga oleh Allah SWT melalui hadith yang disebutkan di atas.
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media