SOALAN:
Baru-baru ini, isteri saya beritahu yang dia dapat cium bau peluh Nabi SAW. Kawan sepejabatnya yang beri. Isteri saya gembira kerana itu mungkin rezeki dari Tuhan buatkan dia lebih rasa rindu kepada Nabi SAW. Saya jadi keliru. Betul ke ada orang yang boleh simpan bau peluh Nabi sehingga hari ini dan saya risau ini merupakan satu taktik untuk menarik seseorang ikut fahaman yang salah. Saya orang yang jahil. Mohon pencerahan.
JAWAPAN:
Sudah menjadi kewajipan dan juga sudah mencapai tahap keperluan bagi setiap Muslim untuk mengetahui dan mempelajari berkenaan peribadi Nabi SAW. Apatah lagi yang melibatkan akhlak Nabi SAW. Ini kerana Nabi SAW merupakan ikutan yang terbaik untuk dicontohi dalam segenap aspek kehidupan. Sama ada di dunia mahupun di akhirat. Perkara ini jelas dinyatakan di dalam firman Allah SWT:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّـهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّـهَ كَثِيرًا
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah Al-Ahzab: 21)
Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan ayat tersebut adalah Rasulullah merupakan contoh yang tertinggi. Kalau mahu, ikutlah contoh yang terbaik yang ada pada Rasulullah SAW. Maka sepatutnya kalian mengambil Rasulullah sebagai ikutan dalam amalan dan berada di atas manhajnya. Itupun kalau kalian mencari dan mengharap pahala dari Allah serta takut akan azab-Nya yang pedih. (Rujuk Tafsir Al-Maraghi, 21/146)
Ini bermakna setiap Muslim mesti berusaha sedaya mungkin untuk mempelajari dan menghayati peribadi Nabi khususnya berkaitan akhlak kerana ianya sangat-sangat diperlukan di zaman ini yang dipenuhi dan fitnah.
Sebelum menjawab persoalan yang dikemukakan, para ulama' telah berusaha untuk mengumpul hadith-hadith dan athar-athar yang berkaitan dengan peribadi Nabi SAW. Sama ada yang melibatkan zahir tubuh badan Nabi dan juga akhlak Nabi SAW. Di antara karya yang terkenal mengumpulkan hadith-hadith berkenaan dengan peribadi Nabi ialah kitab Al-Syamail Al-Muhammadiyah yang disusun oleh Imam Abu Isa Al-Tirmidzi (w.279 H). Maka, kitab-kitab seumpama ini menjadi panduan kepada setiap Muslim untuk mengenali sifat dan peribadi Nabi agar tidak mudah ditipu oleh orang-orang yang berkepentingan yang mendakwa bahawa Nabi itu begini dan begitu.
Di dalam riwayat-riwayat hadith banyak menceritakan perihal bau peluh Nabi SAW. Di antaranya:
1. Daripada Ummu Sulaim:
- كَانَ يَأْتِيهَا فَيَقِيلُ عِنْدَهَا فَتَبْسُطُ لَهُ نَطْعًا فَيَقِيلُ عَلَيْهِ وَكَانَ كَثِيرَ الْعَرَقِ فَكَانَتْ تَجْمَعُ عَرَقَهُ فَتَجْعَلُهُ فِى الطِّيبِ وَالْقَوَارِيرِ فَقَالَ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- « يَا أُمَّ سُلَيْمٍ مَا هَذَا ». قَالَتْ عَرَقُكَ أَدُوفُ بِهِ طِيبِى
“Nabi SAW pernah datang bertemu dengannya. Lalu Baginda tidur pada waktu tengahari di rumahnya. Lalu Ummu Sulaim membentangkan tikar untuk Baginda dan Baginda SAW tidur di atasnya. Pada ketika itu, Nabi SAW berpeluh dengan banyak. Lalu Ummu Sulaim mengumpulkan peluh tersebut dan dia meletakkannya di dalam minyak wangi dan bekas-bekas. Lalu Nabi SAW berkata: “Wahai Ummu Sulaim apakah ini.” Dia (Ummu Sulaim) menjawab: “Ini adalah peluh engkau yang mana aku campurkan dengan minyak wangiku.” [Riwayat Muslim (6203)]
2. Daripada Anas Bin Malik. Beliau berkata:
مَا مَسِسْتُ حَرِيرًا وَلَا دِيبَاجًا أَلْيَنَ مِنْ كَفِّ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَا شَمِمْتُ رِيحًا قَطُّ أَوْ عَرْفًا قَطُّ أَطْيَبَ مِنْ رِيحِ أَوْ عَرْفِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Tidak pernah aku menyentuh sutera dan pakaian yang lebih lembut dari tapak tangan Baginda Nabi SAW. Dan aku tidak pernah menghidu bau dan bunga yang lebih wangi daripada bau Nabi SAW.” [Riwayat al-Bukhari (3561)]
3. Daripada Jabir Bin Samurah, beliau berkata:
صَلَّيْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- صَلاَةَ الأُولَى ثُمَّ خَرَجَ إِلَى أَهْلِهِ وَخَرَجْتُ مَعَهُ فَاسْتَقْبَلَهُ وِلْدَانٌ فَجَعَلَ يَمْسَحُ خَدَّىْ أَحَدِهِمْ وَاحِدًا وَاحِدًا - قَالَ –وَأَمَّا أَنَا فَمَسَحَ خَدِّى - قَالَ - فَوَجَدْتُ لِيَدِهِ بَرْدًا أَوْ رِيحًا كَأَنَّمَا أَخْرَجَهَا مِنْ جُؤْنَةِ عَطَّارٍ
“Aku pernah solat bersama Nabi SAW pada waktu zohor kemudian Baginda pergi kepada ahli keluarganya dan aku juga keluar bersama Baginda. Lalu ada anak kecik yang bertemu dengannya. Lantas Baginda mula menyapu kedua pipi salah seorang dari mereka satu persatu.” Kata Jabir: “Adapun aku turut menyapu pipiku dan aku dapati tangan Baginda ada bau seakan-akan Baginda baru mengeluarkan tangannya dari bekas minyak wangi.” [Riwayat Muslim (6197)]
Inilah sebahagian hadith-hadith yang sahih yang menjelaskan bau peluh Baginda Nabi SAW. Hadith seumpama ini perlu untuk dipelajari oleh setiap orang Muslim. Sama ada yang tua, muda, kecil atau besar. Ini bertujuan agar kita mendapat gambaran sebenar tentang kesempurnaan peribadi Nabi SAW dan mengelakkan dari tertipu oleh dakwa-dakwi yang dilakukan oleh sebahagian pihak yang suka untuk menisbahkan sesuatu perkara yang tidak benar dan disandarkan perkara itu kepada Nabi SAW.
Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, perkara seperti ini memerlukan kepada bukti apatah lagi ianya dinisbahkan kepada Nabi SAW. Kami lebih cenderung untuk mengatakan bahawa apa yang diberikan oleh kawan sepejabat isteri saudara bukanlah bau peluh Nabi SAW. Jika peluh Nabi disimpan sudah pasti akan dijelaskan dan dinyatakan oleh para sahabat. Adapun hadith Ummu Sulaim, walaupun beliau pernah mencampurkan peluh Nabi SAW dengan minyak wanginya akan tetapi beliau tidak menjelaskan selepas itu adakah disimpan atau digunakan. Adakah beliau menyimpannya ataupun memberikannya kepada orang lain. Kesemua ini tidak dinyatakan di dalam mana-mana riwayat yang tsabit.
Sebagaimana disiplin ilmu hadith yang sangat mementingkan sanad dalam menentukan kesahihan sesuatu perkara yang dinisbahkan kepada Nabi SW, maka di dalam perkara seumpama ini kita seharusnya bertawaqquf sehingga ada bukti dan sandaran yang jelas. Tambahan pula, disebabkan jauhnya zaman kita dengan Nabi SAW, adalah tidak mungkin untuk seseorang menyimpan peluh selama 1400 tahun lebih tanpa menafikan bahawa sememangnya Nabi SAW mempunyai banyak keistimewaan.
Kesimpulannya, berhati-hati ketika menyandarkan sesuatu kepada Nabi SAW. Perkara seperti ini perlu diberikan perhatian khusus kerana takut-takut termasuk di dalam golongan yang menipu menggunakan nama Nabi SAW sepertimana sabda Nabi SAW:
مَنْ تَعَمَّدَ عَلَيَّ كَذِبًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
“Sesiapa yang sengaja menipu menggunakan namaku, maka tersedialah tempat duduknya di neraka.” [Riwayat al-Bukhari (108)]
Banyakkan hadir ke majlis-majlis ilmu, sentiasa bertanya kepada yang pakar agar kita dapat mengelakkan dari ditipu oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Mengikuti Nabi bukan sekadar menyatakan kecintaan akan tetapi sejauh mana sunnah Nabi dan peribadi Nabi diikuti dan dihayati di dalam kehidupan seharian kita.
Semoga Allah menjauhkan kita dari pendusta-pendusta yang menggunakan nama agama. Wallahu’alam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media