Satu petisyen online telah dilancarkan untuk menggesa kerajaan menyekat kemasukan pelancong China yang telah ditandatangani 177,570 rakyat Malaysia.
Muhammad Zaim Yusran Mohd Zaidy yang melancarkan petisyen itu berkata ia amat penting bagi mengelak kemasukan warga China ke negara ini berikutan penularan wabak Koronavirus.
"Virus baru itu menular di seluruh dunia disebabkan gaya hidup yang tidak bersih.
"Kerajaan perlu utamakan kesihatan rakyat Malaysia. Jangan tunggu sampai ada kes kematian rakyat Malaysia, baru kerajaan nak ambil tindakan mencegah," kata Muhammad Zaim.
Sehingga kini, pakar masih mencari punca penularan wabak berkenaan, namun ada beberapa laporan yang mengaitkan penularan koronavirus di Wuhan, China itu berpunca dari burung kelawar dan ular.
Beberapa kes koronavirus juga telah disahkan berlaku di Jepun, Korea Selatan, Thailand, Macau, Singapura, Amerika Syarikat, Perancis, Vietnam dan Hongkong.
Semalam, Malaysia mencatatkan kes keempat yang membabitkan seornag lelaki berusia 40 tahun dari Wuhan, China, yang baru saja tiba di Johor Bahru pada Rabu lalu dengan menaiki bas melalui Singapura.
Lelaki itu datang bersama sekumpulan 17 pelancon China, termasuk isteri dan anaknya.
Ketika menjalani imbasan yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor mendapati ahli kumpulan lain tidak menunjukkan sebarang masalah dan mereka kini dikuarantin di satu tempat khas untuk pemantauan lanjut.
24 Januari 2020, China telah mengarahkan agensi pelancongannya menggantung semua pelancongan tempatan dan luar negara berikutan penularan wabak tersebut.
Pada tarikh yang sama juga, Filipina telah menghantar balik 500 pelancong China yang datang dari Wuhan.
Korea utara juga telah menyekat kemasukan semua pelancong asing susulan kejadian itu. Manakala beberapa buah negara lain menasihatkan warga mereka tidak memasuki China terutamanya Wuhan.
Sumber: Malay Mail
Sumber : thereporter.my