Oleh: Hidayah Azlin
SETIU, 22 Disember – Agihan bantuan kelengkapan persekolahan anak-anak Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi bagi sesi 2020 yang bakal tiba tidak lama lagi akan terus dipertingkatkan untuk kebaikan semua pihak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) diingatkan supaya memudahkan cara pengagihan tanpa banyak aturan.
Katanya, kira-kira 3000 murid dalam DUN Jabi bakal menerima satu set uniform sekolah lengkap beserta sebuah beg pada tahun ini.
“ Kaedah agihannya mengikut kreativiti MPKK masing-masing. Ada yang hantar rumah ke rumah dan ada yang buat agihan di Balairaya. Cuma pesan saya kepada MPKK supaya permudahkan urusan rakyat sedaya yang mampu.
“ Kita tidak buat program agihan serentak di peringkat DUN kerana bukan mudah nak buat satu majlis yang dihadiri 3000 orang murid dan ia tidak termasuk lagi ibu-bapa serta penjaga... yang penting kelengkapan sekolah ini perlu sampai kepada murid yang terpilih sebelum bermula sesi baru penggal persekolahan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Agihan Bantuan Kelengkapan Sekolah di Balairaya Tok Dor, baru-baru ini.
Dalam majlis yang sama, Dr Azman turut mengingatkan peranan dan tanggungjawab yang bakal digalas oleh generasi akan datang.
"Nikmatilah dunia kehidupan seorang kanak-kanak sepuasnya. Sampai masanya anak-anak akan menjadi seorang dewasa dengan beban tanggungjawab yang perlu dipikul.
‘’ Dulu kami juga seperti anak-anak semua. Seluar pendek, mandi sungai, berkubang dalam selut (lumpur) mencari ikan, membidas burung, main bola, lumba basikal dan macam-macam lagi.
“ Tak kisahlah cita-cita nak jadi apa bila dewasa nanti. Asalkan jadi seorang hamba Allah yang bertaqwa. Belajarlah rajin-rajin. Kita di Jabi ramai ibu-bapa orang susah termasuk ibubapa Pok Cik. Mereka tak mampu nak warisi harta. Ilmu adalah bekalan terbaik,’’ tambahnya.
Sumber: teganukita.net