UPDI, PSKT Siar Fenomena Gerhana Matahari Anulus Secara Langsung Esok.




KUALA TERENGGANU, 25 Disember- Rakyat Terengganu berpeluang menyaksikan secara langsung gerhana matahari Anulus (cincin) apabila Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) dengan kerjasama Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) bakal menyiarkan fenomena alam itu secara langsung melalui Facebook TV Darul Iman, pagi esok.

PSKT akan melakukan cerapan dan dibuka untuk orang awam manakala UPDI bertindak memberi pendedahan kepada masyarakat keajaiban alam semula jadi yang amat jarang berlaku itu melalui siaran langsung.

Berdasarkan rekod daripada Planetarium Negara, kali terakhir ia berlaku di negara kita ialah pada 22 Ogos 1998, iaitu 21 tahun lalu.

Fenomena gerhana matahari Anulus berlaku ketika  kedudukan bulan, bumi dan matahari adalah selari.

Fenomena ini dapat disaksikan secara jelas di Kukup, Tanjung Piai, Tanjung Pelepas, Selatan Nusajaya dan Pengerang di selatan Johor dan di Bau, Kota Samarahan, Serian serta Sri Aman di Sarawak.

Kawasan-kawasan lain di Malaysia hanya dapat menyaksikan Fasa Gerhana Matahari Separa sahaja.

Rakyat negeri itu dijangka dapat menyaksikan detik permulaan gerhana tersebut bermula jam 11.24 pagi ketika matahari berada pada ketinggian 51°.

Kemuncak maksimum gerhana dijangka berlaku pada jam 1.19 petang iaitu ketika matahari berada pada ketinggian 61° dan dijangka berakhir pada jam 3.15 petang.

Berbanding dengan gerhana matahari penuh yang membolehkan hembusan gas dan semarak api matahari dilihat, ketika gerhana matahari anulus hanya lingkaran bergelang matahari yang kelihatan.

Justeru, seluruh masyarakat khususnya rakyat Terengganu diharap tidak melepaskan peluang menyaksikan keajaiban ciptaan Allah SWT sebagai pengajaran buat diri.

Masyarakat dinasihatkan untuk melihat gerhana matahari ini dengan mengikut cara yang selamat.

Kerajaan negeri juga mengingatkan umat Islam di negeri itu supaya tidak lupa untuk menunaikan solat sunat Khusuf (gerhana) bermula jam 11.24 pagi sehingga gerhana berakhir sebagai mensyukuri nikmat keajaiban yang disaksikan.



Sumber: teganukita.net