Oleh: Khalid Abdullah
KEMAMAN, 22 Disember - Tindakan segera Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili mengarahkan kerja-kerja membuka muara Sungai Paloh, Kertih di sini yang tertutup dengan mendapan pasir berjaya mengatasi fenomena ‘banjir termenung’ di beberapa kawasan rendah.
“Air banjir ekoran hujan lebat sekali lagi tidak dapat keluar ke muara kerana setiap kali tiba musim tengkujuh, ombak besar akan menghantar semula pasir masuk ke dalam muara sekali gus menutup semula muara terbabit.
“Kerja-kerja membuka muara telah kita jalankan minggu lepas, namun hanya bertahan selama tiga hari sahaja.
“Walaupun tiada rumah penduduk terjejas, banjir termenung menyebabkan kawasan rendah yang diusahakan untuk bercucuk tanam masih ditakungi air,” ujar Ir Saiful Azmi ketika meninjau kerja-kerja tersebut, petang semalam.
Tambahnya, usaha pemuliharaan akan dijalankan di masa hadapan untuk membolehkan aliran air Sungai Paloh berjaya mengalir jauh ke tengah laut seperti biasa.
Sementara itu, seorang pekebun sayur, Abdul Manan Embong, 60, memberitahu, pihaknya mengalami kerugian setelah tanaman sayuran yang diusahakan musnah ditenggelami air,” ujar beliau.
Menurutnya juga, ramai orang kampung mencari rezeki dengan berkebun sayur dan tanaman termasuk kacang panjang, timun batang, cili, jagung, sawi dan lain-lain.
“Aduan kami telah mendapat perhatian serius oleh ADUN, besar juga harapan kami agar muara sungai dapat dipulihkan untuk memastikan aliran sungai yang lancar dan kebun kami tidak lagi dilanda banjir termenung,” tambahnya.
Sumber: teganukita.net