Terengganu Teliti Cadangan Tun M - MB

Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
KUALA TERENGGANU, 12 Disember - Kerajaan Terengganu akan memperhalusi cadangan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjual pegangan saham dalam Petronas kepada negeri-negeri yang mempunyai loji syarikat minyak dan gas itu.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri bagaimanapun masih belum menerima apa-apa maklumat lanjut mengenai perkara tersebut.

"Pada peringkat ini, kita hanya menerima maklumat yang ada melalui media sahaja.

"Apapun, keputusan kami akan bergantung kepada aset berkenaan iaitu berapa harga, saiz dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dr. Samsuri juga memaklumkan akan meneliti perjalanan isu berkenaan.

"Ia bergantung kepada harga yang ditawarkan kerana kita tidak ada kemampuan yang begitu besar.

"Tetapi kalau dalam bentuk ekuiti, seperti lima ke sepuluh peratus itu boleh dipertimbangkan jika munasabah," jelasnya.

Menurutnya, di dalam Terengganu terdapat kira-kira 30 platform minyak.

"Negeri-negeri Sabah dan Sarawak mempunyai simpanan tunai yang besar berbanding Terengganu.

 "Jika harganya satu sekitar RM10 ke RM20 juta, kita boleh pertimbangkan untuk dapatkan secara ekuiti dan bukan secara pemilikan 100 peratus aset tersebut," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan Terengganu tidak terlibat dalam tuntutan untuk meningkatkan Wang Tunai Petroleum (WTP) atau royalti sebagaimana Sabah dan Sarawak.

"Kita menerima apa yang diputuskan sebelum ini iaitu sebanyak lima peratus, tiada tuntutan untuk 20 peratus," katanya.

Sumber: teganukita.net