Oleh: Wan Luqman Hakim
KUALA TERENGGANU, 25 Disember- Permainan Dam Aji akan dikembangkan sebagai salah satu permainan warisan di negeri Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Bandar, YB Ustaz Ahmad Shah berkata, secara asasnya Dam Aji merupakan satu permainan yang cukup baik untuk melatih minda dengan konsep yang santai.
"Permainan ini mengajar kita bagaimana cara untuk menang dengan mengatur strategi sebagaimana permainan catur, tetapi lebih ringkas dan pergerakan lebih terhad.
“Permainan ini bukan satu permainan yang baru, ia sudah dimainkan sejak puluhan tahun dahulu dan patut dikekalkan sebagai permainan warisan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Dam Aji Tertutup Terengganu 2019 yang mengantikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah, di bawah Jambatan Hiliran Jejawi, di sini semalam.
Menurutnya, Dam Aji amat popular di Terengganu dan Kelantan dan ia patut diperkembangkan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) seterusnya bertanding dengan negeri Kelantan.
"Sukan ini sudah melalui banyak perubahan selaras perkembangan zaman.
"Jika dahulu kita dengar bahawa dam Aji ini melalaikan dan menghabiskan masa. Tetapi, saya lihat kini mereka bermain dalam bentuk teratur buat mengisi masa lapang tanpa mengabaikan kewajipan agama dan keluarga," katanya.
Beliau menambah, kewujudan permainan itu mampu memberikan manfaat sekiranya dikembangkan dengan baik.
"Ini adalah satu hiburan dan Islam tidak melarang umatnya untuk berhibur jika mereka mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
“Kita akan melihat keperluan yang boleh membantu untuk menaikan taraf mutu permainan ini dan cara untuk mengasuh bakat-bakat baru," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) Hiliran Jejawi, Mohd Azlan Ali memaklumkan bahawa pertandingan tersebut mendapat sambutan di luar jangkaan.
"Malah, ramai orang muda dan kanak-kanak juga menunjukan minat menyertai pertandingan ini.
"Tujuan asal pertandingan ini diadakan untuk merapatkan lagi hubungan silaturahim antara penduduk kampung di samping dapat menghidupkan suasana meriah di kampung," katanya.
Sumber: teganukita.net