Terengganu Negeri Pertama Laksana Pengebilan Bersepadu IWK


Dr. Xavier dan Dr. Samsuri melihat wakil syarikat menandatangani perjanjian.


KUALA LUMPUR, 20 Disember- Terengganu menjadi negeri pertama di Semenanjung Malaysia menyokong inisiatif bil bersepadu bersama Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK).

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri melalui Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) bersetuju melaksanakan bil bersepadu air dan pembetungan yang akan bermula 1 Januari 2020.

"Secara umumnya, sebanyak 20,661 akaun terlibat yang mana ia merupakan tujuh peratus daripada keseluruhan pengguna air dalam negeri.
Sidang media perjanjian Pengebilan Bersepadu IWK-SATU.

"Jumlah ini merangkumi pengguna di kawasan bandar dan pinggir bandar," katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pelaksanaan Pengebilan Bersepadu antara IWK dan SATU di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Malaysia, Dato' Dr. Xavier Jayakumar yang menyaksikan pertukaran perjanjian antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SATU, Ir. Atemin Sulong dan CEO IWK, Narendran Maniam.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga & Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh.

Dr. Samsuri selaku Pengerusi SATU turut menasihati kedua-dua syarikat agar mengutamakan kehendak dan kepuasan pelanggan serta menitipkan inisiatif-inisiatif baru untuk memudahkan mereka.

"Saya percaya, pada permulaan pelaksanaannya akan timbul sedikit sebanyak kekeliruan dan pertanyaan orang ramai namun, saya pasti SATU dan IWK telah merangka pelan peralihan yang efektif.

"Ini termasuklah sesi penerangan kepada pihak berkepentingan, wakil-wakil penduduk dan media termasuk mempertingkatkan komunikasi untuk memberi penerangan kepada pengguna," katanya.



Sumber: teganukita.net