Terengganu Juara Karnival Sukan SUK Pantai Timur


KUANTAN, 8 Disember - Kontinjen Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK)Terengganu dinobatkan sebagai johan keseluruhan Karnival Sukan SUK Negeri Pantai Timur Tahun 2019.

Pasukan SUK Terengganu berjaya memenangi kesemua lima sukan yang dipertandingkan dalam karnival yang berlangsung selama dua hari.

Pasukan SUK Terengganu membolot kemenangan bagi acara sukan golf bukan VIP, futsal, bola jaring, badminton berpasukan dan ping pong berpasukan.


Piala disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (Pembangunan), YH Dato’ Fadzilla Haji Salleh, wakil rasmi Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Pahang pada majlis penutup karnival berkenaan di Grand Darul Makmur Hotel di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Pengurusan), Zainal Abidin Mohamed, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Mohd. Zakaria Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pembangunan), Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal.


Seramai 223 atlet dan pegawai kontinjen SUK Negeri Pantai Timur berkampung di bandar Kuantan sempena Karnival Sukan SUK Negeri Pantai Timur 2019.

Karnival sukan yang julung kali diadakan ini akan dilaksanakan secara dwi tahunan serta selain sebagai "pemanas badan" untuk ke Temasya Sukan SUK di Selangor tahun hadapan.

Kerajaan Negeri Pahang mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua atlet yang telah bertungkus lumus sepanjang karnival sukan ini berlansung. Semoga bertemu kembali di tahun akan datang.

SUMBER: Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

Sumber: teganukita.net