TDM Kupas Tradisi Pelayaran Melayu


KUALA TERENGGANU, 19 Disember - Kumpulan TDM Berhad (TDM) meneruskan program 'Corporate Social Responsibility (CSR) siri keempat dengan menganjurkan program Menjulang Peradaban Kupasan Sejarah Maritim.

Ianya berkisar tentang tradisi pelayaran Melayu yang disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Royal Terengganu Institute of Historical and Legal Studies (R-TIHiLS), Mohd Yusof Abdullah dan Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif TDM, Zainal Abidin Shariff berkata, TDM merasa bertanggungjawab mengangkat peradaban dan sejarah bangsa agar masyarakat masa kini terutama golongan muda mengambil tauladan dan semangat atas kejayaan yang telah dilakukan oleh tamadun bangsa.

"Tamadun bangsa kita pernah menjadi satu peradaban yang disegani. Segelintir pihak memandang sepi dan lesu kekuatan peradaban kita yang sebelum ini menjadi tunjang penyatuan dan ilmu.

"Selain itu, melalui program ini juga, peserta dapat mengenali identiti dan jati diri bangsa secara langsung bagi memastikan sejarah bangsa tidak dilupai seterusnya dapat mengangkat taraf peradaban bangsa kita sendiri," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program tersebut di Kuala Terengganu Specialist (KTS) Hospital di sini semalam.

Kupasan untuk siri keempat ini merangkumi persoalan bagaimana untuk memilih bahan dan menghasilkan peralatan, teknologi pembinaan yang hebat, kemahiran dan keberanian mengendalikan perahu dan kebolehan menyelenggara perahu.

Program ini merupakan salah satu program bulanan tanggungjawab sosial CSR TDM. Program CSR dilaksanakan secara bersiri pada setiap bulan, minggu ketiga dan pada hari Rabu.

TDM sebagai penganjur program menyediakan tempat kepada orang awam yang berminat mendalami peradaban dari tiga sudut iaitu sejarah, budaya dan bahasa.

Ianya menjadi salah satu platform kepada orang awam yang berminat untuk mendalami peradaban sebagai pengantara unggul wadah ilmu dan maklumat rakyat.

Turut hadir, orang awam, badan-badan korporat dan warga universiti selain daripada kakitangan Kumpulan TDM Berhad.



Sumber: teganukita.net