Tambah Tautan Mahabbah Santuni Yang Memerlukan


Oleh: Aminji

KEMAMAN, 24 Disember - Bertepatan dengan tema ‘Ukhuwah Menjana Kebajikan Muslimat’,  Ahli Jawatankuasa (AJK) Muslimat Surau Syed Abdul Rahman Kampung Batu 4 Luar, Kemaman mengambil peluang meraikan golongan yang memerlukan di dalam majlis Tautan Mahabbah yang diadakan di surau berkenaan, baru-baru ini.
                                           
Majlis menyaksikan seramai 20 orang menerima sumbangan, terdiri daripada pelbagai kategori. Mereka yang diraikan adalah golongan ibu tunggal, anak-anak yatim piatu berusia 18 tahun ke bawah dan Orang Kelainan Upaya (OKU) di sekitar Zon A Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih termasuk dari Kampung Batu 4, Binjai, Kampung Pasir Minal dan Kampung Pengkalan Binjai.


ADUN Air Putih, Cikgu Ab Razak Ibrahim dalam ucapannya menyatakan sokongan beliau terhadap program-program kebajikan seperti ini.

“Program seperti ini wajar diadakan dengan lebih kerap supaya kebajikan masyarakat setempat terutamanya golongan yang memerlukan tidak terabai dan bukti kita cakna akan permasalahan yang dihadapi oleh mereka,” ujar beliau sewaktu merasmikan majlis.

Beliau turut berterima kasih kepada para penyumbang yang bermurah hati dan tidak putus-putus menyalurkan sumbangan.

Katanya, program seumpama ini dianjurkan bukan sahaja untuk mengeratkan ukhuwah di antara AJK dengan masyarakat setempat.

Bahkan objektif utamanya adalah untuk mengurangkan sedikit sebanyak beban yang ditanggung selain memberikan kata perangsang dan motivasi kepada mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.


Pada program tersebut, para peserta program menerima sumbangan berupa keperluan barangan dapur dan sejumlah wang yang disampaikan oleh Cikgu Razak.

Terpancar riak kegembiraan di wajah masing-masing tatkala menerima sumbangan apa lagi apabila musim persekolahan sesi 2020 akan bermula tidak lama lagi.

Turut hadir, Penasihat Penubuhan CAKNA Anak Yatim Kemaman, Ustaz Zulkifli Ahmad dan Ketua Hal Ehwal Wanita DUN Air Putih, Ustazah Faridah Yahya.

Majlis diserikan lagi dengan persembahan nasyid dari anak-anak yatim cilik Srikandi.

Sumber: teganukita.net