SOALAN:
Bagaimana status syahadah oleh orang yang bisu? Adakah dikira keislamannya hanya dengan menggunakan isyarat? Mohon penjelasan.
JAWAPAN:
Allah SWT tidak memberikan beban taklif kepada para hamba-Nya melebihi batas kemampuannya. Hal ini berdasarkan firman-Nya:
لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya.” (Surah al-Baqarah: 286)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Allah SWT tidak membebankan hamba-hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka kerjakan. Bahkan sifat kemurahan-Nya memberikan kemudahan kepada mereka.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/672)
Dalam isu di atas, kami kemukakan di sini pandangan Imam al-Nawawi yang antara lain menyebut: “Keislaman orang bisu melalui bahasa isyarat yang dapat difahami adalah dianggap sah. Tetapi dalam pendapat lain dikatakan, keislaman seseorang tidak diakui melainkan setelah dia menunaikan solat selepas mengucapkan syahadah dengan bahasa isyarat tersebut. Ini adalah zahir pendapat Imam Syafi’i yang terdapat dalam kitab Al-Umm. Pendapat yang benar yang ma’ruf adalah pendapat pertama. Sedangkan pendapat Imam Syafi’i itu mesti difahami dalam konteks ketika (syahadat) dengan bahasa isyarat tidak dapat difahami.” (Lihat Raudhah al-Talibin, 7/282)
Sebuah kaedah menyebut:
الإِشَارَةُ المعْهُوْدَةُ لِلْأَخْرَسِ كَالْبَيَانِ بِاللِّسَانِ
“Isyarat yang diketahui bagi orang bisu adalah sama sepertimana penjelasan melalui lisan.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 31; al-Asybah oleh Ibn Nujaim, hlm. 343 dan al-Wajiz, hlm. 244)
Syeikh Ahmad al-Zarqa’ menjelaskan: “Isyarat yang diketahui sebagaimana kebiasaannya bagi orang bisu dengan mana-mana anggotanya seperti tangannya atau kepalanya adalah diambil kira sebagaimana percakapan atau penjelasan melalui lisan.” (Lihat Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, hlm. 351)
Kesimpulan
Berdasarkan kenyataan di atas, kami berpandangan bahawa orang bisu yang masuk Islam dengan menggunakan bahasa isyarat yang dapat difahami, maka dikira sah keislamannya.
Semoga Allah SWT mengurniakan kita ilmu dan kefahaman yang tepat dalam menjalankan setiap titah perintah-Nya di atas muka bumi ini. Amin.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media