Soal Jawab: Kubur dan Roh


Soal:
Macam mana nak tolong ayah dalam kubur?

Jawab:
Sebagai anak sebaiknya selalu mendoakan kebaikkan dan memohon keampunan Allah untuk ayah yang telah meninggal dunia, selalu bersedekah dan menderma dan dan banyakkan amal solih niatkan untuk ayah, mematuhi hukum syarak dalam segenap aspek kehidupan supaya ayah turut mendapat menafaatnya walau pun sudah meninggal dunia. Hubungi silaturrahim dan muliakan kawan-kawan ayah.

Soal:
Hukum letak bunga atas kubur dan siram air?

Jawab:
Hukum letak bunga di kubur bergantung kepada niat dan tujuan . Jika bertujuan mengikut sunnah Nabi SAW yang meletak pelepah kurma yang masih hidup yang bertasbih kepada Allah dan meringankan keadaan arwah di alam barzakh maka adalah elok. Kerana setiap yang hidup seperti tumbuhan bertasbih sentiasa kepada Allah. dengan sebab tasbih yang hidup kepada Allah dekat kubur maka diharapkan ringan orang yang di dalam kubur. Jika bertujuan mengikut budaya orang bukan Islam meletak bunga maka ia adalah dilarang.

Syeikh Atiyah Saqar Ketua Mufti Lajnah Fatwa al-Azhar berkata: “Ini adalah masalah antara golongan mengharuskan dan golongan yang menegah. Saya melihat tiada tegahan pada perkara ini selagi mana ia beriktikad (menyakini) bahawa yang memberi manfaat dan mudarat itu hanyalah Allah SWT. Apa yang kita hadiahkan kepada si mati seperti doa, sedekah dan lain-lain lagi adalah ‘min babil asbab’ semata-mata mengharapkan rahmat Allah SWT. Justeru, perbuatan menaburkan bunga sebagai menggantikan pelepah dan ranting basah adalah harus. Bagaimanapun, jika bunga itu dibeli dengan harga mahal semata-mata untuk melakukan perbuatan itu, dibimbangi ia akan jatuh kepada haram disebabkan membazir.”

Soal:
Kat kubur nak baca apa yang paling bagus?

Jawab:
Sebaik tiba di kubur bacalah ucapan salam kepada si mati kemudian membaca ayat al-Quran yang mana yang mudah bagi kita kemudian membaca doa minta kebaikkan untuk si mati.

Tidak dimestikan membaca ayat-ayat tertentu tetapi terpulang kepada yang ziarah surah apa yang dia mahu baca adalah harus. Cuma setengah-setengah orang suka membaca Yaasin atau surah Baqarah atau surah lain dan ia bukanlah wajib atau menjadi syarat.

Imam Nawawi berkata:

وروينا في سنن البيهقي بإسناد حسن أن ابن عمر استحبَّ أن يقرأ على القبر بعد الدفن أوّل سورة البقرة وخاتمتها
“Diriwayatkan di dalam Sunan Al-Baihaqi dengan sanad yang hasan bahawa Ibnu Umar menyukai agar dibaca di atas perkuburan sesudah pengebumian permulaan pada surah al-Baqarah dan pada pengakhirannya.” (Kitab Al-Azkar)

Soal:
Hukum ziarah kubur?

Jawab:
Hadith Nabi SAW:

فزوروا القبور فانها تزهد في الدنيا وتذكر الأخرة
“Ziarahlah kamu semua akan kubur kerana ziarah kubur itu mengingatkan kamu akan negeri akhirat.”

Sunat bagi kaum lelaki ziarah kubur dan ia adalah sunnah Nabi SAW. Adapun bagi kaum wanita maka harus hukumnya ziarah kubur dengan syarat menjaga adab-adab keluar rumah iaitu menutup aurat dengan sempurna dan tidak mengiringi jenazah pada masa memanam mayat. Ziarahlah pada masa tidak ramai dengan ditemani mahram atau suami dan tidak duduk lama di kubur.

Soal:
Arwah gembira ke kalau kita ziarah kubur?

Jawab:
Orang yang telah mati atau penghuni kubur memang merasa senang dengan datangnya orang yang ziarah dan mengenalinya.

Berkata Imam Ibnu Qayim:

والسلف مجمعون على هذا ، وقد تواترت الآثار عنهم بأن الميت يعرف زيارة الحي له ويستبشر به
“Para salaf telah ijma' atas ini dan sungguhnya telah menjadi mutawatir dari para salaf dengan bahawasanya mayat mengenali orang hidup yang ziarah akan mayat dan suka mayat dengannya.” (Kitab Ar-Ruuh)

Soal:
Dulu syurga ibu bawah tapak kaki ayah. Sekarang ayah dah tak ada. Syurga ibu macamana? Balik ke ibu dia ke?

Jawab:
Ketika bernama isteri maka wajib dia taat kepada suaminya kerana jika dia derhaka kepada suami maka tertutup baginya pintu syurga. Maka apabila suami telah meninggal dunia dan kembali dia kepada ibu bapanya maka wajib pula dia taat kepada ibu bapanya.

Soal:
Betul ke roh akan balik ke rumah dalam 44 hari?

Jawab:
Tidak ada dalil yang menunjukkan perkara ini. Roh orang beriman dinaikkan ke langit setelah berpisah dari badan menurut hadith-hadith yang sahih dan dikembalikan kepada jasadnya untuk menjawab soalan Malaikat Munkar dan Nakir.

Dan diriwayatkan juga roh dikembalikan untuk menjawab salam orang yang ziarah. Tiada hadith sahih yang memberitahu roh balik ke rumah pada hari yang 44, namun jika Allah kehendaki, ia boleh berlaku.

Soal:
Doa anak soleh sampai kepada arwah. Macamana nak tahu kita anak soleh ke tidak?

Jawab:
Anak yang soleh ertinya anak yang beriman yang benar aqidahnya dan beramal dengan suruhan agama. Oleh itu selalulah hadir majlis ilmu supaya dapat mengetahui cara beraqidah yang benar dan cara beramal yang betul supaya termasuk dalam kalangan anak yang soleh.

Jika kita hidup dengan mematuhi segala peraturan agama maka sudah pasti kita menjadi seorang anak yang soleh.

Soal:
Boleh ke doa supaya roh arwah datang melawat dalam mimpi sebab rindu sangat?

Jawab:
Tidak salah berdoa untuk dapat jumpa si mati dalam mimpi. Sementara itu selalulah amalkan amal soleh sebanyak mungkin kerana ibu bapa yang telah meninggal dunia mendapat saham yang baik dari amal soleh yang dilakukan oleh anak-anak.

Wallahua'lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus (Original)
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media