"Saya tiada niat untuk mencederakan Zulfarhan, apatah lagi untuk membunuhnya," demikian kata penuntut UPNM, Muhammad Afif Najmuddin Azamat ketika perbicaraan semalam, dalam kes bunuh Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain, dua tahun lalu.
Saksi keempat pembelaan yang juga tertuduh keempat itu berkata, hubungan dia dan Zulfarhan adalah baik, tiada kebencian mahupun dendam terhadap mangsa.
Namun ketika Zulfarhan disoal beberapa pelajar mengenai kes kecurian laptop, Muhammad Afif berkata keadaan pada waktu itu tegang dan berlaku sedikit kekecohan.
"Pada ketika itulah seseorang beri seterika wap untuk saya guna ke atas Zulfarhan. Saya secara spontan guna seterika itu di bahagian paha luar Zulfarhan sebanyak dua kali, tak sampai sesaat pun," katanya sambil menunjukkan cara dia melakukan perbuatan itu kepada mahkamah.
Peguam Datuk Seri M Ramacheelvam yang mewakili tertuduh bertanya, apakah reaksi mangsa pada ketika itu, Muhammad Afif menjelaskan mangsa menarik kaki dan seolah-olah mengerekot.
Selepas berbuat demikian, terutudh meletakkan seterika itu di atas meja sebelum beredar ke biliknya dan tidak berjumpa dengan mangsa lagi selepas itu.
Tertuduh bersama tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, tertuduh keenam Abdoul Hakeem Mohd Ali dan saksi pendakwaan ke-12 Muhammad Sufi Mohd Mustapha kemudian membawa Zulfarhan ke Klinik As-Salam di Bangi dengan menaiki kereta tertuduh ke-16, Muhammad Hasif Ismail pada 27 Mei 2017, jam 12 tengah hari.
Selesai mendapatkan rawatan di klinik, Muhammad Afif meminta Muhammad Hasif menghantarnya ke Terminal Bas Selatan kerana dia mahu pulang ke rumahnya di Negeri Sembilan.
Pada sesi soal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim mengenai perkataan yang disebut Zulfarhan ketika dia meninggikan suara, Muhammad Afif menjawab Zulfarhan berkata 'Jangan'.
Hakim Datuk Azman Abdullah juga bertanya adakah tertuduh mencuba seterika wap itu di badannya terlebih dahulu, tertuduh berkata dia tidak berbuat demikian.
AZMAN: "Kamu tahu kan air yang mendidih akan keluarkan asap. Seterika wap itu ada keluar asap tak?"
MUHAMMAD AFIF: "Ada Yang Arif"
Perbicaraan ditangguhkan dan akan disambung semula pada hari ini.
Sumber: Harian Metro
Sumber : thereporter.my