Perutusan Tahun Baharu 2020 Menteri Besar Terengganu Darul Iman.


Tahun Baharu 2020 : Terus Mengorak Langkah Memacu Terengganu

Alhamdulillah, Terengganu mencatat kemajuan sepanjang tahun 2019 selari dengan hasrat dalam Bajet 2019 yang lalu bertemakan “Negeri Berkat, Rakyat Sejahtera”.

Perkembangan ini memanfaatkan kira-kira 1.25 juta penduduk Terengganu merangkumi setiap segmen masyarakat seperti golongan profesional, belia, wanita, warga emas, orang kurang upaya dan lain-lain.

Lazimnya, kita akan memperbaharui azam dan semangat agar tahun baharu ini bakal menjadi lebih bermakna kepada diri, masyarakat, bangsa serta agama demi mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat.

Tahun 2019 bakal menjadi sejarah, memberikan pengalaman berharga sebagai penanda aras untuk menilai sejauh mana usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri dalam melaksanakan agenda kepada rakyat. Saya mengakui bahawa masih ada perkara yang perlu diperbaiki untuk memastikan keperluan dan kehendak rakyat dapat direalisasikan.

Jika ditoleh sepanjang tempoh tahun lepas, Kerajaan Terengganu era pentadbiran PAS telah berjaya melaksanakan sebahagian besar daripada 20 manifesto yang dijanjikan. Sinergi antara pemimpin dan rakyat menjadi kunci kepada kejayaan dan kesejahteraan negeri Terengganu pada hari ini.

Tidak dilupakan, ramai anak Terengganu yang menjadi aset negeri telah berjaya mengharumkan nama Terengganu dalam pelbagai sektor seperti pendidikan, keusahawanan, sukan dan sebagainya.

Sehingga kini, Kerajaan Negeri akan terus menjalinkan hubungan antarabangsa dengan beberapa negara luar yang boleh memberi nilai tambah kepada Terengganu. Seterusnya, ia merancakkan pelaburan, mempergiatkan pelancongan dan menyuburkan pendidikan, yang mana secara tidak langsung memberi impak positif kepada ekonomi negeri.

Tahun 2019 turut mengukir sejarah apabila termeterainya Piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019 yang melibatkan dua parti terbesar di Malaysia. Kerjasama politik ini cenderung mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara khususnya dalam konteks memacu negeri Terengganu.

Tahun 2020, saya menyeru kita semua bermuhasabah sebelum melakar segala perancangan dan meletakkan suatu matlamat bagi tahun yang mendatang.

Harapan saya agar Kerajaan Negeri terus dapat melakukan anjakan paradigma. Tiada apa yang lebih menggembirakan selain dapat memenuhi keperluan rakyat. Ini bukanlah suatu perkara yang mudah namun tidak boleh sekali dijadikan alasan.

Tanggungjawab dan amanah ini wajib dilaksanakan bukan sahaja demi rakyat dan negeri Terengganu tetapi kepada Allah SWT jua.

Doakan kemajuan negeri yang sedang kita bina membawa kepada kemakmuran negeri dan keharmonian hidup.

Selamat Tahun Baharu 2020.

'Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera'

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar
Menteri Besar Terengganu
31 Disember 2019

Sumber: teganukita.net