SOALAN:
Boleh berikan penjelasan tentang kaedah yang menyatakan bahawa “keyakinan itu tidak hilang dengan syak”. Terima kasih.
JAWAPAN:
Secara asasnya, usul fiqh berlegar sekitar isu dalil-dalil serta kaedah-kaedah fiqh. Antara kaedah fiqh yang masyhur serta membantu dalam proses pengeluaran sesuatu hukum adalah kaedah:
اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ
“Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak (keraguan).”
Dari sudut bahasa, keyakinan itu membawa erti: “Suatu ilmu yang tidak ada bersamanya keraguan.” Manakala dari sudut istilah pula ia membawa maksud: “Terhasilnya kepastian yang jazam sama ada sesuatu itu berlaku atau tidak berlaku.”
Syak pula dari sudut bahasa bermaksud: “Ragu-ragu.” Manakala dari sudut istilah syak membawa erti: “Ragu-ragu terhadap sesuatu perbuatan sama ada berlaku atau tidak berlaku. Iaitu tidak ada murajjih (suatu yang memberatkan salah satu ke atas satu yang lain).”
Dalam mensyarahkan makna kaedah ini sebahagian ulama' berkata: “Sekiranya seseorang itu telah memastikan akan sesuatu, kemudian dia berasa syak, adakah perkara yang dipastikan itu telah hilang atau tidak, maka asasnya adalah masih kekal perkara yang dipastikan itu. Maka sesuatu itu kekal di atas apa yang telah dipastikan.” [Rujuk: Syarah Al-Qawa’id Al-Fiqhiyyah (Hlm. 45)]
Kaedah ini merupakan salah satu kaedah yang penting di dalam fiqh. Bahkan Al-Qadhi Husin al-Syafi’e menyatakan bahawa fiqh terbina dari empat kaedah utama dan antaranya adalah kaedah “keyakinan tidak dihilangkan dengan syak” ini. Kaedah ini mempunyai sandarannya dari nas-nas syarak daripada Al-Quran dan juga Al-Sunnah. Antaranya adalah firman Allah SWT:
إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا
“Sesungguhnya zhon (sangkaan) tidak menandingi kebenaran walau sedikit pun.” [Surah Yunus (36)]
Imam Al-Thabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini menyebutkan: “Sesungguhnya syak tidak memberi nilaian walau sedikit pun ke atas keyakinan. Dan syak sedikit pun tidak menggantikan kedudukan keyakinan serta tidak memberi sebarang manfaat kerana sesuatu itu berhajat kepada keyakinan.” [Rujuk: Al-Jami’ Al-Bayan, Al-Thabari (15/89)]
Begitu juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا وَجَدَ أَحَدُكُمْ فِي بَطْنِهِ شَيْئًا فَأَشْكَلَ عَلَيْهِ أَخَرَجَ مِنْهُ شَىْءٌ أَمْ لاَ فَلاَ يَخْرُجَنَّ مِنَ الْمَسْجِدِ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا
“Apabila salah seorang kamu mendapati ada sesuatu di dalam perutnya lalu dia berasa musykil sama ada telah keluar sesuatu dari perut atau tidak, maka janganlah dia keluar dari masjid sehinggalah dia mendengar ada bunyi atau mendapati ada bau.” [Riwayat Muslim (362)]
Berdasarkan kepada kaedah di atas, ia turut membawa kepada beberapa kaedah yang lain seperti yang disebutkan oleh para ulama' iaitu kaedah:
الْأَصْل بَقَاء مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ
“Pada asasnya, sesuatu itu kekal mengikut keadaan asalnya.”
Sebagai contoh dalam menjelaskan kaedah di atas, sekiranya seseorang yang hendak berpuasa itu makan pada penghujung malam, lalu dia berasa syak sama ada fajar telah terbit atau tidak, maka puasanya adalah sah kerana hukum asalnya adalah masih kekalnya malam. [Rujuk: Al-Asybah wal Nazhair, Al-Suyuthi (Hlm. 52)]
Demikian juga kaedah:
اليَقِينُ لَا يُزَالُ إِلَّا بِاليَقِين
“Keyakinan tidak dihilangkan melainkan dengan suatu keyakinan juga.”
Oleh itu, seseorang yang meyakini bahawa dirinya masih berada dalam keadaan taharah, kemudian timbul rasa ragu-ragu sama ada berlaku hadas atau tidak, maka kita katakan bahawa dia masih kekal berada dalam taharah melainkan setelah dia meyakini berlakunya hadas yang membatalkan taharah seperti dia yakin yang dia telah kentut sama ada dia mendapati ada bunyi atau bau kentut tersebut.
Aplikasi Kaedah
Berikut kami nyatakan beberapa contoh pengaplikasian kaedah di atas ini agar lebih mudah untuk difahami. Antaranya:
1. Dalam isu wudhu', seseorang yang telah selesai mengambil wudhu' kemudian dia berasa sangsi dan ragu-ragu sama ada wudhu'nya telah terbatal atau tidak, maka hendaklah dia berpegang dengan keyakinan bahawa dia masih berada dalam keadaan taharah (suci dari hadas).
2. Dalam isu bilangan rakaat di dalam solat, seseorang yang berasa syak tentang bilangan rakaat solatnya maka hendaklah dia menghilangkan syak dengan mengambil pendapat yang paling yakin dan pasti. Justeru, dalam kes kekeliruan tentang dua atau tiga rakaat, maka seseorang menghilangkan syak dengan mengambil dua rakaat yang pasti. Lalu di penghujung solat dia melakukan sujud sahwi.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلاَتِهِ فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى ثَلاَثًا أَمْ أَرْبَعًا فَلْيَطْرَحِ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَا اسْتَيْقَنَ
“Apabila salah seorang kamu berasa syak di dalam solatnya, kemudian dia tidak tahu berapa rakaatkah yang telah dia lakukan sama ada tiga rakaat atau empat rakaat, maka hendaklah dia menghilangkan syak dan dia perlulah membina berdasarkan apa yang dia yakin.” [Riwayat Muslim (571)]
Hal ini dikuatkan lagi dengan apa yang ditunjukkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abd al-Rahman bin ‘Auf R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي الثِّنْتَيْنِ وَالْوَاحِدَةِ فَلْيَجْعَلْهَا وَاحِدَةً وَإِذَا شَكَّ فِي الثِّنْتَيْنِ وَالثَّلاَثِ فَلْيَجْعَلْهَا ثِنْتَيْنِ وَإِذَا شَكَّ فِي الثَّلاَثِ وَالأَرْبَعِ فَلْيَجْعَلْهَا ثَلاَثًا ثُمَّ لْيُتِمَّ مَا بَقِيَ مِنْ صَلاَتِهِ حَتَّى يَكُونَ الْوَهْمُ فِي الزِّيَادَةِ ثُمَّ يَسْجُدْ سَجْدَتَيْنِ وَهُوَ جَالِسٌ قَبْلَ أَنْ يُسَلِّمَ
“Apabila salah seorang dari kamu berasa ragu-ragu terhadap bilangan rakaat sama ada dua rakaat dan satu rakaat, maka jadikanlah ia sebagai satu rakaat. Apabila berasa syak sama ada dua rakaat atau tiga rakaat, maka jadikanlah ia sebagai dua rakaat. Dan apabila seseorang itu syak sama ada tiga rakaat atau empat rakaat maka jadikanlah ia sebagai tiga rakaat. Kemudian dia menyempurnakan baki-baki dari perbuatan solatnya, sehinggalah yang diragukan adalah pada (rakaat yang lebih), kemudian dia bersujud sebanyak dua kali dalam keadaan dia duduk sebelum dia memberi salam.” [Riwayat Al-Tirmidzi (1209)]
3. Dalam isu talak, sekiranya seseorang itu berasa ragu-ragu sama ada dia menceraikan isterinya atau tidak, maka tidak berlaku talak dalam keadaan ini. Kerana perasaan syak itu tidak memberi kesan kepada keyakinan yang sedia ada iaitu mereka masih merupakan pasangan suami isteri. Maka perkahwinan tidak gugur semata berlakunya syak dalam perceraian. Kerana pensabitan sesuatu itu sama ada berlaku atau tidak hanyalah menerusi keyakinan dan kepastian.
Meskipun begitu, bagi sesiapa sahaja yang mempelajari ilmu usul fiqh maka dia akan mengetahui bahawa setiap kaedah pasti mempunyai pengecualian dalam beberapa permasalahan yang tertentu. Ini seperti yang disebutkan oleh para ulama':
لكل قاعدة استثناء
“Bagi setiap kaedah itu ada pengecualiannya.”
Antara permasalahan yang dikecualikan dari kaedah “keyakinan tidak hilang dengan adanya syak” adalah seperti berikut:
1. Apabila seseorang yang menyapu ke atas khuf itu syak sama ada telah tamat ataupun belum lagi tempoh sapuan iaitu sehari semalam bagi yang bermukim dan tiga hari tiga malam bagi yang bermusafir, maka dalam kes ini kita berpendapat kepada telah tamatnya tempoh.
2. Sekiranya ada seekor haiwan yang kencing di dalam air yang berkuantiti banyak, kemudian air itu berubah sifatnya, dan seseorang itu tidak tahu adakah air tersebut berubah dengan air kencing atau perkara lain, maka ia dihukum sebagai najis.
3. Jika seseorang itu bertayammum disebabkan ketiadaan air kemudian dia melihat sesuatu yang dia tidak pasti adakah ia fatamorgana atau air, maka batal tayammumnya.
Penutup
Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa dalam setiap perkara sama ada dalam urusan keduniaan atau akhirat, seseorang itu hendaklah berpegang dengan hukum asal yang diyakini dan menghilangkan syak yang mengganggu fikiran. Kaedah ini hakikatnya menjelaskan bahawa menjadi satu tuntutan kepada setiap individu untuk meninggalkan segala keraguan dan syak dalam kehidupan kepada keyakinan yang menenangkan. Ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh menenangkan. Ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hasan bin ‘Ali R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ
“Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu. Sesungguhnya kebenaran itu adalah ketenangan dan pembohongan itu suatu yang meragukan.” [Riwayat Al-Tirmidzi (2518)]
Akhir kalam, semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media