Pejabat Daerah Dan Tanah Marang Terengganu Diiktiraf 5 Bintang

Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan insentif dan sijil pengiktirafan kepada wakil Kerajaan Terengganu dan Kelantan.
KUALA LUMPUR, 8 Disember - Pejabat Daerah dan Tanah Marang, Terengganu telah berjaya mendapat 5 bintang dalam pengauditan Penarafan Bintang (Sistem Star Rating) (SSR) Pentadbiran Tanah yang baharu dilaksanakan pada tahun 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, anugerah tersebut sekali gus mengangkat jabatan tersebut sebagai pejabat tanah terbaik di peringkat kebangsaan.


"Tahniah kepada Pejabat Daerah dan Tanah Marang di atas pengiktirafan yang mengharumkan nama Terengganu ini, syabas," ucapnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebook miliknya, baru-baru ini.

Dengan kejayaan itu, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju menyampaikan insentif dalam bentuk 'in-kind' berjumlah RM200,000 dan sijil pengiktirafan. Anugerah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pegawai Daerah dan Tanah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak.


Sumber: teganukita.net