OKU, Warga Emas Antara Mangsa Banjir Di Kuala Nerus

Che Zaini bersama anaknya di PPS.
KUALA NERUS, 7 Disember - Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas antara mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak di sini sejak beberapa hari lalu.

Ibu OKU berkenaan, Che Zaini Che Soh, 55, berkata mereka sekeluarga terpaksa memilih untuk berpindah bersama anaknya, Nurul Nadhirah Mustafa, 25, berikutan paras air banjir di kediaman mereka semakin meningkat akibat hujan sederhana lebat yang berterusan.

"Saya bimbang keselamatan anak dan berharap banjir ini cepat surut agar kami sekeluarga dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

"Kurang selesa jika di sini lama-lama memandangkan anak saya yang mengalami masalah saraf," katanya kepada pemberita di PPS berkenaan di sini kelmarin.

Walau bagaimanapun, Che Zaini redha dengan ujian tersebut dan berharap agar bencana itu berjaya diatasi pada masa akan datang.
Malik Muhammad.
Sementara itu, seorang lagi penghuni pusat berkenaan, Malik Muhammad berkata perasaan penduduk perumahan di Taman Desa Damai sentiasa resah apabila hujan turun berterusan hingga menyebabkan paras air naik begitu cepat dan risiko berlaku banjir amat tinggi.

Katanya, walaupun bencana pada tahun ini tidaklah seteruk tahun 2014, dia tetap berharap agar kejadian itu tidak akan terus berulang termasuk pada gelombang kedua yang dijangka bermula 25 Disember nanti.

"Justeru, saya berharap agar Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berterusan lagi pada masa akan datang di kampung kami.

"Termasuk pihak berwajib dapat mengambil inisiatif termasuk menyegerakan proses mendalamkan laluan air (longkang) berikutan ia sudah tidak lagi dapat menampung air hujan," tambah beliau.





Sumber: teganukita.net