Nelayan Hilang, Bot Karam Di Dungun



Oleh: Mohd Asraf

DUNGUN, 7 Disember - Seorang nelayan hilang manakala dua lagi rakannya terselamat selepas bot pukat tunda yang yang dinaiki mereka karam di muara sungai Dungun, hari ini.

Mangsa yang dikhuatiri lemas dikenali Afandi Zakaria, 42, manakala yang terselamat Mohd Fadhil Jusoh, 34 dan Muhd Irfan, 32.

Kedua-dua individu yang terselamat itu ditemui awal pagi hari ini di muara sungai Dungun dalam keadaan keletihan namun dilaporkan stabil.

Manakala usaha mengesan seorang lagi mangsa masih giat dilakukan.



Agensi Polis Dungun, BOMBA Dungun dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menerusi darat bermula jam 7:56 pagi tdi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, setiap kali musim tengkujuh pasti akan ada kejadian yang tidak diingini.

“Kita sentiasa memberi peringatan kepada warga Sura dan pengunjung terutamanya yang berkunjung ke pantai peranginan sekitar daerah ini agar menjaga keselamatan terutamanya pada bulan November hingga Januari kerana ketika itu kebiasaannya terjadi kejadian ombak besar.

“Sudah beberapa kali dimuat naik di Facebook rasmi saya agar mengambil langkah berhati hati jika ingin ke pantai atau ke laut,” katanya.

Dalm pada itu, beliau turut mendoakan agar seorang lagi mangsa yang hilang berjaya ditemui dengan segera dan berterima kasih kepada pasukan penyelamat yang segera bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat aduan.

Sumber: teganukita.net