Lelaki ini didenda RM18,380 kerana menyebabkan kematian bakal isterinya


Setahun selepas kematian teman wanitanya akibat kemalangan, lelaki ini didakwa di mahkamah dan didapati bersalah kerana cuai sehingga menyebabkan kematian mangsa. 

Danial Andika Mohman, 23, sebelum kejadian sudah merancang untuk berkahwin dengan Nur Diana Lim, 20, selepas menamatkan latihan khidmat negara. 

Namun berlaku tragedi yang tidak disangka menyebabkan Nur Diana maut dalam kemalangan yang berlaku pada 12 Disember 2018 akibat digilis bas. 

Mahkamah mengenakan hukuman denda S$6,000 (RM18,380) dan menggantung lesen memandunya selama tiga tahun di atas kecuaiannya itu. 

Mahkamah dimaklumkan, pasangan itu menunggang motosikal di Pan-Island Expressway kira-kira jam 10 malam. 

Dua buah kenderaan di hadapan tiba-tiba berlanggar dan lori di belakang pula brek secara mengejut untuk mengelakkan pelanggaran. Tetapi Danial tidak sempat menekan brek lalu melanggar bahagian belakang kiri lori tersebut. 

Danial dan Nur Diana tercampak dari motosikal dan terjatuh ke jalan raya. Sebuah bas yang berada di belakang kira-kira 10 meter tidak sempat mengelak lalu menggilis Nur Diana. 

Mangsa yang tidak sedarkan diri dikeluarkan dari bawah bas dan terus dikejarkan ke hospital. Mangsa tiba di hospital pada jam 11.10 malam tetapi 15 minit kemudian doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia akibat kecederaan parah. 

Danial pada ketika itu juga dibawa ke hospital kerana jari tangan dan tulang selangkanya mengalami keretakan. 

Semalam, Danial mengaku dia gagal bertindak dengan pantas dan kurang peka dengan keadaan di hadapannya sehingga menyebabkan kemalangan yang mengorbankan teman wanitanya itu, katanya sambil menangis. 

Timbalan Pendakwa Raya Lee Jing Yan memberitahu mahkamah Nur Diana merupakan teman wanita kepada tertuduh dan kejadian yang berlaku tu tragis. Lee memohon mahkamah mengenakan denda S$6,000 dan mengantung lesennya selama tiga tahun. 

Peguam kepada Danial, Henry Lim memohon mahkamah bertimbang rasa dan menegaskan anak guamnya telah cuba mengelakkan kemalangan itu dari berlaku, malah sebelum kejadian itu, anak guamnya sudah merancang untuk berkahwin dengan mangsa. 

Selain itu, Henry menambah, anak guamnya turut mengalami kecederaan dalam kemalangan tersebut dan memohon mahkamah mengenakan jumlah denda yang lebih ringan kerana Danial tidak mempunyai wang sebanyak S$6,000. 

Hakim kemudian mengenakan denda sebanyak S$6,000 dan lesen digantung selama tiga tahun. Mahkamah membenarkan tertuduh membayar denda itu secara ansuran dengan jumlah S$1,000 setiap bulan. 

Sumber: Asia One


Sumber : thereporter.my