SOALAN:
Apakah terdapat hadith berkaitan larangan melabel seseorang dengan fasiq?
JAWAPAN:
Islam amat menganjurkan umatnya untuk sentiasa mengucapkan perkataan-perkataan yang baik kepada saudaranya sama ada Muslim atau bukan Islam. Ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:
Firman Allah SWT:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّـهِ وَعَمِلَ صَالِحًا
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh.” (Fussilat:33)
Syeikh Wahbah al-Zuhaili Rahimahullah berkata ketika menafsirkan ayat ini dengan menyatakan beberapa isi penting iaitu perkataan menyeru kepada mengesakan Allah dan taat kepada-Nya serta beribadah kepada-Nya. Selain itu, maksud beramal soleh di dalam ayat di atas adalah menunaikan segala yang difardhukan oleh Allah SWT ke atas manusia di samping menjauhkan segala yang diharamkan oleh Allah SWT ke atasnya. [Lihat: Tafsir al-Munir, 228-229/24]
Tambahan pula, di dalam sebuah hadith yang sahih bahawa Nabi SAW memerintahkan kita agar berkata yang baik atau diam. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW:
وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
“Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” [Riwayat al-Bukhari (6018)]
Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang mencegah kita daripada mencela atau mengejek saudara kita dengan ucapan seperti fasiq atau kafir. Antara hadith tersebut adalah:
Daripada Abu Zar R.A, dikatakan bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:
لاَ يَرْمِي رَجُلٌ رَجُلًا بِالفُسُوقِ، وَلاَ يَرْمِيهِ بِالكُفْرِ، إِلَّا ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ، إِنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ
“Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasiqan dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu.” [Riwayat al-Bukhari (6045)]
Kata Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani: “Barangsiapa yang berkata kepada seseorang dengan mengatakan kamu fasiq atau kamu kafir dan tuduhan itu tidak seperti yang dikatakan maka dia (yang melemparkan tuduhan) berhak mendapat apa (sifat) yang disebutkan itu. Jika sebaliknya, maka tuduhan itu tidak akan kembali kepadanya disebabkan tuduhannya itu benar.
Tambahan pula, jika seseorang itu mengatakan sedemikian dengan tujuan untuk menasihatinya atau menasihati orang lain dengan menjelaskan hal keadaannya maka ia dibenarkan. Adapun jika tujuannya untuk memalukan orang yang dituduhnya atau memperkenalkan kepada khalayak akan sifat tersebut yang ada pada dirinya makai ia tidak benarkan kerana kita dituntut untuk menutup aib saudara kita serta mengajarnya dan memberi nasihat kepadanya dengan penuh hikmah.
Selain itu, selagimana seseorang itu mampu untuk melakukannya dalam keadaan yang baik maka dia tidak boleh melakukannya dalam keadaan kekerasan kerana bimbang ini akan menjadi sebab orang yang dituduh akan berterusan dengan keadaan seperti itu.” [Lihat: Fath al-Bari, 466/10]
Hal ini juga dikuatkan lagi dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Daripada Abu Zar R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
وَمَنْ دَعَا رَجُلًا بِالْكُفْرِ، أَوْ قَالَ: عَدُوُّ اللهِ وَلَيْسَ كَذَلِكَ إِلَّا حَارَ عَلَيْهِ
“Dan barangsiapa yang memanggil seseorang dengan kafir atau dengan berkata wahai musuh Allah sedangkan tidak sedemikian melainkan perkataan tersebut akan kembali kepadanya.” [Riwayat Muslim (112)]
Penutup
Kesimpulannya, sebagai seorang muslim perlulah bersifat dengan segala sifat-sifat yang diajarkan oleh Allah SWT dan Nabi SAW di dalam hadith. Hadith di atas juga, jelas menunjukkan kepada kita larangan yang keras kepada kita agar tidak sewenang-wenangnya menuduh saudara kita dengan perkataan seperti fasiq atau kafir. Ini kerana, jika tuduhan itu merupakan satu tuduhan yang palsu, maka tuduhan tersebut akan kembali semula kepada kita. Di samping itu, kita juga perlu menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh menyakiti saudara seagama kita khususnya. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara lidah kita daripada mengucapkan perkataan yang boleh menyakiti saudara kita. Amin.
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media