KIT Santuni Ibu Tunggal


Oleh: Pyang Mamat

KEMAMAN, 3 Disember - Kelab Ibu Tunggal N30 (KIT) bergerak aktif menyantuni ibu tunggal di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dengan mengadakan Program Jalinan Kasih.

Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh berkata, ibu tunggal mesti tabah dan kental jiwanya dalam mengharungi kehidupan dengan mengambil contoh isteri-isteri Rasulullah SAW.

"Siti Khadijah RA juga seorang ibu tunggal yang menjadi seorang jutawan. Berkat ketabahannya, beliau disegani dan dihormati di Kota Mekah.

"Begitu juga dengan Siti Aishah RA yang menjadi ikon kepada kita dan menjadi tempat rujukan sahabat-sahabat baginda Rasulullah.


"Dan Saidatina Habshah RA yang menjadi tokoh ilmuan diamanahkan menyimpan kaligrafi al-Quran yang dikumpul oleh Saidina Abu Bakar dan dicetak oleh Saidina Hamzah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program tersebut di Dewan Serikandi, Kampung Darat Kijal di sini baru-baru ini.

Hazri juga menyeru ibu-ibu tunggal supaya melibatkan diri dengan program keusahawanan dan program yang diadakan oleh komuniti setempat bagi mendapatkan maklumat tentang bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan negeri.


Sementara itu, kelab yang dipengerusikan oleh Che Mesilah Mohamed itu turut memberi sedikit sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan dapur kepada peserta bagi meringankan beban mereka.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Ahli Majlis Perbandaran Kemaman, Haji Zabidin Awang dan Pegawai Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kijal, Azuan Ramli.

Sumber: teganukita.net