Kerap kacau isteri orang, Imam cedera ditikam anggota tentera


Seorang anggota polis di Balai Pamekasan, Madura, Indonesia, ditemui cedera di hadapan sebuah bank semalam (10 Disember 2019). 

Mangsa, Imam Sutrisno, 37, terjatuh dari motosikal selepas terlanggar pintu pagar besi premis itu. Orang awam yang melihat kejadian itu terus datang menghulurkan bantuan dan melihat mangsa sedang menahan perutnya yang mengeluarkan darah. 

Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. 

Menurut laporan Kompas, luka di perut mangsa adalah disebabkan oleh senjata tajam. Mangsa diserang oleh seorang anggota tentera yang tidak berpuas hati dengannya. 

Panglima Polis Tentera Pamekasan, Maskun berkata, suspek yang dikenali sebagai 'AS' berbuat demikian kerana isterinya selalu diganggu oleh Imam.

Maskun menceritakan kronologi kejadian itu di mana suspek yang lengkap berpakaian seragam tentera datang ke balai pada jam 9.30 pagi untuk bertemu dengan mangsa tetapi usaha itu gagal kerana Imam tidak berada di balai. 

Akhirnya suspek dan mangsa bertemu di sebuah rumah kosong bagi menyelesaikan masalah yang timbul. Namun di tengah perbincangan, berlaku perang mulut di antara mereka sehingga suspek hilang sabar lalu merodok perut mangsa dengan pisau di bahagian perut. 

Mangsa yang cedera terus melarikan diri dan merampas motosikal orang awam dan memecut sehingga berlaku kemalangan kecil di hadapan sebuah bank sebelum dibantu oleh orang awam. 

Dalam masa yang sama, suspek juga menyerah diri kepada pihak berkuasa dan dalam keterangannya berkata, dia tidak berniat untuk mencederakan mangsa. 

Pihak Polis Tentera kini sedang menyiasat kejadian itu dan beberapa barang bukti seperti pisau juga telah dirampas untuk siasatan. 

Sumber: Sosok


Sumber : thereporter.my