Oleh: Ahmad Ezani Razali
KEMAMAN, 9 Disember - Kem Anak Gemilang DUN (Dewan Undangan Negeri) Cukai 2.0 berjaya mencapai objektif apabila memperkenalkan modul-modul semasa seperti perkara asas fardu ain dan ibadat umum serta khusus dalam Islam kepada para peserta.
Pengarah program, Mahadi Man ketika ditemui selepas sesi penutup kelmarin berkata, secara kesimpulannya kem pada kali ini berjaya mencapai objektif dengan apa yang diharapkan oleh ibu bapa untuk dilaksanakan oleh pihak penganjur kepada anak-anak mereka.
Katanya, sambutan pada tahun ini amat menggalakkan dengan penglibatan 101 orang peserta lelaki dan 104 peserta perempuan menjadikan jumlah keseluruhan adalah seramai 205 orang peserta.
"Sebenarnya kita menerima lebih banyak permohonan daripada ibu bapa tetapi kerana kekangan tempat penginapan membuatkan kami hanya mampu menerima 205 peserta sahaja. Insya-Allah, tahun hadapan kita akan adakan di tempat yang lebih besar dengan sasaran 300 orang peserta.
"Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ADUN Cukai, Hanafiah Mat selaku penganjur dan menjadi tulang belakang memberikan sumbangan untuk melaksanakan kem ini. Juga ucapan terima kasih kepada jawatankuasa program, urusetia, fasilitator dan semua pihak yang terlibat dalam membantu menjayakan kem," ujarnya.
Kem Anak Gemilang DUN Cukai 2.0 telah diadakan selama tiga hari dua malam bermula 6 Disember di Asrama Yayasan Terengganu, Kemaman dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Cukai, Pemuda PAS DUN Cukai dan Ameerah DUN Cukai.
Kem itu turut menampilkan penceramah istimewa, Pencetus Ummah (PU) Rahmat. Dalam masa sama, Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) turut memberikan sumbangan senaskhah al-Quran kepada setiap peserta.
Sumber: teganukita.net