Kampung Paya Berenjut Wujudkan Dataran Haji Hanafiah Mat


Oleh: Ahmad Ezani Razali

KEMAMAN, 29 Disember - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Paya Berenjut telah mewujudkan satu dataran baharu yang diberi nama "Dataran Haji Hanafiah Mat".

Pengerusinya, W Razali Wan Mansor ketika ditemui berkata, pada asalnya mereka menerima aduan daripada peniaga pasar malam mengenai permukaan tanah tersebut yang lecah dan dipenuhi dengan rumput.

"Pada permulaannya, kami mengambil tindakan dengan meletakkan batu geseran di seluruh kawasan tersebut. Namun begitu, lama-kelamaan ia semakin mendap sehingga meninggalkan batu sahaja.

"Selepas itu, kami membawa perkara ini kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat. Daripada perbincangan tersebut, Hanafiah segera meluluskan sebahagian peruntukan untuk kita tar kawasan tersebut," ujarnya.


Katanya lagi, Hanafiah turut mencadangkan agar kawasan itu dijadikan dataran ilmu di mana setiap pagi Jumaat akan diadakan kuliah Dhuha.

"Kebetulan pula, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Federal Agricultural Marketing Authority atau FAMA) mencadangkan agar diadakan Pasar Tani.

"Dengan adanya 2 perkara ini kami merasakan ianya akan memberi kebaikan dan manfaat kepada seluruh penduduk di sana dan kawasan-kawasan yang berdekatannya.

"Sebagai tanda menghargai jasa, sumbangan, cadangan yang telah diberikan, kami mengambil keputusan untuk menamakan dataran ini sempena nama beliau," tambahnya lagi.


Dataran tersebut telah disempurnakan dan dirasmikan oleh Hanafiah sendiri yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri. Beliau diraikan dengan dibawa berarak sekitar kampung tersebut menaiki kereta kuda.

Majlis perasmian tersebut berlangsung bersempena Hari Keluarga Kampung Paya Berenjut. Pelbagai acara menarik diadakan seperti Gunting Rambut Percuma, Penalti Street Soccer, Pertandingan Ayam Berkokok, Sukan Rakyat, Sukan Ameerah, Berenjut Challenger, Sepak Takraw dan BBQ.

Sumber: teganukita.net