Hukum Penggunaan Alat Renjatan Elektrik Untuk Menangkap Ikan


SOALAN:
Kawan saya ada memberi cadangan untuk menangkap ikan menggunakan kaedah elektrik, dengan menggunakan kaedah ini akan memudahkan dan mendapat hasil yang banyak tanpa perlu bersusah payah untuk memancing. Bukankah kaedah ini satu penyeksaan terhadap ikan dan adakah dibolehkan untuk memakan ikan yang telah dikenakan kejutan elektrik?

JAWAPAN:
Memburu atau menangkap pada asalnya adalah diharuskan melainkan sekiranya terdapat dalil yang mengharamkannya. Begitu juga, hukum menangkap ikan merupakan perkara yang dihalalkan di dalam Islam. Ini sepertimana kaedah yang yang dinyatakan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah:

الأصْل فِي الصَّيْدِ الإبَاحَةُ، إِلاَّ لِمُحْرِمٍ أَوْ فِي الْحَرَمِ، يَدُل عَلَيْهَا الْكِتَابُ وَالسُّنَّةُ وَالإجْمَاعُ، وَالْمَعْقُول
“Hukum asal bagi memburu adalah diharuskan melainkan bagi orang yang berihram atau di Tanah Haram seperti yang terdapat di dalam kitab, sunnah, ijma’ dan qiyas.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 28/114)

Begitu juga, apa yang dihalalkan oleh Allah SWT setiap haiwan yang terdapat di dalam lautan. Firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ
“Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut (air), dan makanannya.” (Surah Al-Maidah: 96)

Pelbagai cara untuk menangkap ikan seperti memancing, menjala dan selainnya. Justeru, cara penangkapan ikan itu tidak terlepas daripada apa yang disyorkan syarak. Menjadi kewajipan seseorang itu mengikut apa yang ditetapkan oleh hukum syarak. Sebagai contoh, tindakan menangkap ikan itu adalah diharuskan namun sekiranya cara penangkapan itu tidak berlandaskan syariat seperti melakukan kezaliman dan menyalahi undang-undang, maka haram melakukannya.

Hal ini seperti, dengan melakukan kemaksiatan dan kezaliman dengan tujuan untuk mendapat nikmat Allah SWT. Allah SWT melarang hamba-Nya melakukan kerosakan di atas muka bumi seperti mana firman-Nya:

كُلُوا وَاشْرَبُوا مِن رِّزْقِ اللَّـهِ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ
“Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi.” (Surah al-Baqarah: 60)

Selain itu, Firman Allah SWT:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah al-Rum: 41)

Dr. Wahbah Zuhaili dalam menerangkan bahawa kerosakan dilakukan di atas sebab mengejar dunia mereka. Dengan kerosakan mereka itu akan dibalas di dunia sebelum mendapat balasan daripada Allah pada hari akhirat. (Lihat al-Tafsir al-Munir li Zuhaili, 21/97)

Larangan Menggunakan Alat Renjatan Elektrik

Penggunaan alat renjatan elektrik merupakan salah satu cara untuk menangkap ikan dengan meletakkannya ke dalam air dan melakukan renjatan elektrik itu ke dalamnya. Ini bertujuan membunuh atau melalikan keseluruhan hidupan air yang meliputi kawasan yang terkena renjatan elektrik termasuk ikan besar, kecil serta hidupan laut yang lain.

Cara penangkapan ini boleh menyebabkan banyak kerosakan seperti merosakkan ekosistem kehidupan laut serta boleh menyebabkan kepupusan. Islam melarang umatnya untuk melakukan kemudharatan ke atas dirinya atau diri orang lain. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A, sabda Nabi SAW:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
“Tidak boleh memudharatkan dan tidak boleh membalas mudharat dengan mudharat.” [Sunan Ibnu Majah (2341)]

Ibnu Abd al-Bar di dalam menyatakan di dalam kitabnya, lafaz hadis ini adalah umum dan banyak digunakan di dalam kebanyakan urusan dunia. (Lihat al-Istizkar, 7/191)

Selain itu, kerajaan Malaysia melarang penggunaan barang renjatan elektrik untuk penangkapan ikan. Ini seperti yang terdapat di dalam Akta Perikanan Negara seperti berikut:

AKTA PERIKANAN 1985 Perkara 26 Menangkapan ikan dengan menggunakan bahan letupan racun, dsb. Di bawah (1)

Menggunakan atau cuba menggunakan apa-apa bahan letupan, racun atau pencemar, atau apa-apa perkakas yang menggunakan arus elektrik, atau apa-apa alat yang dilarang, bagi maksud membunuh, melali, mencacatkan atau menangkap ikan, atau dengan apa jua cara lain menyebabkan ikan itu lebih senang ditangkap; adalah bersalah melakukan suatu kesalahan.

Oleh itu, mematuhi peraturan yang ditetapkan pemerintah adalah satu kewajipan selagi tidak melanggar hukum syarak. Ini kerana kerajaan lebih mengetahui keadaan sesebuah negara bagi menjaga kepentingan umum.

Imam Suyuti di dalam kitabnya menyatakan kaedah:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ
“Polisi Imam (pemerintah atau pihak berkuasa) ke atas rakyatnya diikat dengan maslahat.” (Lihat al-Ashbah wa al-Nazair li Suyuti, 1/121)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan dan hujahan yang dinyatakan, dapat kami simpulkan di sini bahawa penggunaan alatan renjatan elektrik adalah diharamkan kerana memberi kemudharatan kepada ekosistem hidupan air dan ia juga akan menyebabkan kepupusan serta merosakkan hidupan air.

Selain itu, penggunaan renjatan elektrik turut membunuh keseluruhan haiwan yang berhampiran dengannya. Ini termasuk haiwan yang tidak memberi keperluan kepada penangkapnya. Islam melarang umatnya membunuh haiwan tanpa keperluan, hal ini, merupakan satu pembaziran.

Hadis yang diriwayatkan oleh Amru bin Syarid R.A, sabda Nabi SAW:

مَنْ قَتَلَ عُصْفُورًا عَبَثًا عَجَّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ يَا رَبِّ إِنَّ فُلاَنًا قَتَلَنِي عَبَثًا وَلَمْ يَقْتُلْنِي لِمَنْفَعَةٍ
“Barangsiapa yang membunuh burung kecil tanpa sebab, ia akan mengadu kepada Allah SWT pada hari kiamat dan berkata: “Wahai Tuhan, sesungguhnya si fulan telah membunuhku dnegan sia-sia tanpa sebab dan tidak membunuhku kerana sebarang manfaat.” [Sunan al-Nasa’ie (4446)]

Selain itu, penggunaannya adalah salah di sisi undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan akan dikenakan tindakan undang-undang.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agama-Nya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syariat-Nya dengan sebaiknya.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media