SOALAN:
Tular sehari dua ni mengenai guru haram menerima hadiah daripada pelajar. Betul ke tuan? Sudah banyak tahun saya menerima hadiah dari pelajar saya semasa hari guru dan akhir tahun. Mohon tuan memberikan penerangan.
JAWAPAN:
Hadiah
Istilah hadiah mengikut pandangan Syafi’eyyah adalah suatu pemberian barang yang dimilikinya tanpa memerlukan penukaran barang yang lain dengan tujuan memuliakannya. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/252)
Selain itu, hibah, sedekah dan wakaf juga termasuk di dalam kategori yang sama makna dengan hadiah. Ini seperti yang disebut Imam al-Nawawi di dalam kitabnya:
والهبة والعطية والهدية والصدقة معانيها متقاربة وكلها تمليك في الحياة بغير عوض
“Dan Hibah, A’tiah, Hadiah dan Sedekah berdekatan dari segi makna. Dan setiap daripadanya adalah pemberian hak milik pada waktu hidup tanpa penukaran balik.” (Lihat: al-Majmu’ syarah al-Muhazzab, 15/370)
Pensyariatan Hadiah
Para fuqaha’ bersepakat bahawa pensyariatan hadiah adalah disunatkan pada asalnya, melainkan sekiranya kepentingan yang mendatang. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/255)
Begitu juga dengan Nabi SAW pernah menerima hadiah daripada al-Muqauqis dan juga al-Najasi. Dan pemberian hadiah itu sebaiknya diutamakan kepada jiran dan juga saudara-mara yang terdekat bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim.
Firman Allah SWT:
وَآتَى الْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينَ
“Dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, -kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin.” (Surah al-Baqarah: 177)
Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah al-Khurasani, Sabda Nabi SAW:
وَتَهَادَوْا تَحَابُّوا
“Bertukar-tukarlah hadiah nescaya kamu akan saling berkasih-sayang.” [Riwayat Malik dalam al-Muwatta’ secara mursal (2/908)]
Syarat dan Pembahagian Hadiah
Hadiah merupakan salah satu cabang daripada hibah, oleh itu syarat serta hukumnya juga merangkumi syarat dan hukum hibah iaitu:
- Pemberi dan penerima hadiah.
- Barang yang diberi.
- Lafaz (al-Sighah).
(Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/122)
Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah juga ada menyatakan bahawa pembahagian hadiah terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu:
- Halal di antara keduanya iaitu pemberi dan penerima hadiah bertujuan untuk bersilaturrahim.
- Haram di antara keduanya seperti pemberian bertujuan melakukan kezaliman.
- Diharamkan kepada penerima hadiah sahaja sekiranya pemberian hadiah itu bertujuan untuk menggelakkan kezalimannya ke atas diri kita.
- Selain itu, pemberian hadiah disebabkan rasa takut disebabkan kemudaratan adalah halal bagi pemberi dan haram bagi penerima.
(Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/258)
Rasuah
Istilah Rasuah di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyatakan: “Sebarang pemberian bertujuan memalsukan kebenaran dan membenarkan kepalsuan.” (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/220)
Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya menyatakan: “Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah/suapan. Iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya.” (Lihat: al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, 626)
Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr R.A, Rasulullah SAW bersabda:
لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي
“Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.” [Riwayat Ahmad (6984) dan Ibnu Majah (2313)]
Kesimpulan
Berbalik kepada persoalan dan pendangan para fuqaha’ dapat disimpulkan disini, pemberian dan penerimaan hadiah itu mestilah bertujuan untuk kebaikan dan mengeratkan silaturrahim. Dan ini adalah yang disunatkan seperti mana yang dilakukan pada hari guru bagi menghormati dan memuliakan para guru.
Namun, sekiranya pemberian hadiah itu mengandungi unsur-unsur yang dilarang syarak, seperti paksaan dan rasuah bertujuan untuk mendapat manfaat yang tertentu maka ia diharamkan.
Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memahami agama-Nya mengamalkan syariat-Nya dengan sebaik mungkin. Amin.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media