SOALAN:
Jika seseorang itu berzina, kemudian dia berkahwin tanpa bertaubat, adakah tidak sah perkahwinan itu?
JAWAPAN:
Dalam menjawab hal ini suka kami mengingatkan terlebih dahulu bahawa zina ialah perbuatan yang keji dan dimurkai oleh Allah sebagaimana firman Allah S.W.T:
وَلا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلا
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan.” (Surah An-nisa': 32)
Persoalannya adakah disyaratkan bertaubat bagi penzina untuk memastikan perkahwinannya sah di sisi syarak? Ulama’ telah berselisih pandangan tentang hal ini kepada dua pendapat:
Pendapat pertama: Disyaratkan bertaubat untuk memastikan perkahwinannya sah. Pandangan ini diriwayatkan daripada 'Ali, Al-Bara', 'Aisyah dan Ibn Mas’ud. Ini juga adalah pandangan sebahagian ulama’ mazhab Hanbali.
Hal ini berdasarkan dalil daripada Surah An-Nur ayat 3:
الزَّانِي لَا يَنكِحُ إِلَّا زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لَا يَنكِحُهَا إِلَّا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ ۚ وَحُرِّمَ ذَٰلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ
“Penzina lelaki tidak boleh berkahwin melainkan dengan penzina perempuan atau dengan perempuan musyrik, dan penzina perempuan tidak boleh berkahwin melainkan dengan penzina lelaki atau lelaki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan bagi orang-orang yang beriman”. (Surah An-Nur: 3)
Ibnu Qudamah menjelaskan bahwa lafaz ‘wa hurrima dzalika ‘alal mukminin’ ialah pengharaman berkahwin dengan penzina ditujukan kepada orang mukmin iaitu sekiranya pezina tersebut belum bertaubat, sebaliknya apabila penzina tersebut telah bertaubat daripada zina maka leburlah dosanya. (Rujuk: As-Syarhu Al-Kabir 7/503-504)
Hal ini juga bertepatan dengan hadith:
التائب من الذنب كمن لا ذنب له
“Seseorang yang telah bertaubat daripada dosa itu layaknya diumpamakan seperti tidak ada dosa padanya.” [Riwayat Ibnu Majah (4250)]
Pendapat kedua: Tidak disyaratkan bertaubat dan perkahwinan penzina itu sah. Pendapat ini diriwayatkan daripada Abu Bakar, 'Umar, Ibnu 'Abbas, dan ia juga merupakan pendapat majoriti ulama' dan ulama' mujtahid empat mazhab.
Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Sayyidina Umar R.A:
كما روي أن عمر رضي الله عنه ضرب رجلًا وامرأة في الزنا وحرص على أن يجمع بينهما
“Dan telah diriwayatkan bahawasanya Sayyidina Umar R.A telah memukul lelaki dan perempuan yang telah berzina dan ingin mengahwinkan keduanya.” [Riwayat Al-Baihaqi (7/155)]
Demikian juga Firman Allah SWT:
وَأُحِلَّ لَكُمْ مَا وَرَاءَ ذَلِكُمْ
“Dan dihalalkan bagi kamu selain yang demikian.” (Surah An-Nisa: 24)
Ayat An-Nisa diatas turun setelah menjelaskan wanita-wanita yang haram dinikahi. Oleh itu hukum selain wanita yang telah disebutkan adalah halal untuk dinikahi, termasuk wanita yang berzina.
Maklum balas para ulama’ kepada pendapat pertama:
Para ulama’ telah memberi ulasan mengenai pendapat pertama yang mengatakan tidak sah perkahwinan seorang penzina melainkan setelah dia bertaubat berdasarkan ayat 3 daripada Surah An-Nur. Mereka mengambil pandangan Imam As-Syafie yang mengatakan ayat ini telah dimansuhkan. (Rujuk: Al-Umm 5/158)
Pandangan ini juga diriwayatkan daripada Sa’id bin al Musayyib yang menyatakan ayat ini telah dimansuhkan oleh ayat 3 daripada surah An-Nisa':
فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ
“Maka nikahilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi.” (Surah An-Nisa: 3)
Kesimpulan
Justeru pada pengamatan kami, kami cenderung untuk memilih pandangan kedua yang mengatakan bahawa penzina tidak disyaratkan bertaubat untuk memastikan perkahwinannya sah. Hal ini adalah kerana ini merupakan pandangan majoriti ulama’ dan bertepatan dengan mazhab Syafie di negara kita.
Meskipun demikian, kami ingin mengingatkan bahawa walaupun para ulama’ berbeza pendapat mengenai keharusan berkahwin dengan wanita penzina, namun para ulama’ telah bersepakat bahawa zina adalah dosa besar yang wajib dijauhi. Zina juga mengundang kemurkaan Allah sehingga diwajibkan keatasnya hukuman tertentu iaitu bertujuan untuk memberatkan penzina tersebut ke atas dosa yang dilakukan.
Justeru, sebaiknya hendaklah dipastikan pelaku zina tersebut benar-benar bertaubat terlebih dahulu sebelum dinikahi kerana perkahwinan dalam Islam merupakan ibadah. Maka sewajarnya pelakunya bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat sebelum melaksanakan tuntutan ibadah yang besar iaitu perkahwinan.
Suka juga untuk kami mengingatkan bahawa perbahasan ini adalah seputar isu keharusan menikahi wanita yang berzina dan bukannya daripada sudut keutamaan memilih wanita tersebut. Di dalam hal ini, sudah tentu wanita yang solehah dan menjaga diri daripada kefasikan adalah wanita yang terbaik untuk dikahwini sebagaimana firman Allah SWT:
وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَات
“Dan perempuan-perempuan yang baik itu adalah untuk lelaki-lelaki yang baik begitu juga lelaki-lelaki yang baik itu adalah untuk perempuan-perempuan yang baik.” (Surah An-Nur:26)
Demikian juga hal ini diisyaratkan melalui hadith nabi SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A:
تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ : لِمَالِهَا ، وَلِحَسَبِهَا ، وَلِجَمَالِهَا ، وَلِدِينِهَا ، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ
“Seorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu akan beruntung.” [Riwayat Bukhari (4802) dan Muslim (1466)]
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media