Denda Perokok Degil Mulai Tahun Depan


Oleh : Safwan Syakir

KEMAMAN, 24 Disember – Kerajaan Terengganu menyambut baik ketetapan yang diambil oleh  pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan bermula Januari 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, premis makanan merupakan salah satu daripada 23 kawasan larangan yang telah diwartakan oleh pihak KKM.



“Nak merokok, terpulanglah kerana itu pilihan masing-masing, tapi jangan sampai menjejaskan keselamatan orang sekeliling ‘’

‘’Tolonglah jangan merokok di tempat awam, asap yang dihembus oleh perokok lebih bahaya kerana ianya tiada filter’ dan boleh mengakibatkan kecacatan kepada anak apabila dihidu oleh ibu mengandung,’’

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Premis Makanan Bersih Pihak Berkuasa Tempatan Peringkat Negeri Terengganu Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 Di Medan Selera Jom Makan Chukai, Kemaman ahad lalu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Chukai, Hanafiah Bin Mat dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Yusman Bin Ibrahim.

Menurutnya, antara objektif program ini adalah untuk meningkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan yang menjadi tumpuan pelancong terutamanya sempena tahun melawat Malaysia 2020.

Tegasnya lagi, kajian perubatan telah membuktikan menghisap rokok sama ada aktif atau pasif adalah penyumbang utama kepada kanser paru-paru.

“Saya berharap premis ini menjadi model kepada premis lain yang bebas daripada asap rokok dan selamat untuk dikunjungi.

‘’Dengan penguatkuasaan peraturan itu, perokok yang ditahan di kawasan larangan akan didenda RM10,000 atau boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun berkuatkuasa 1 Januari 2020,” ujarnya.



Sumber: teganukita.net