Antara rumah yang masih ditenggelami air di Kampung Bukit Tadok |
HULU TERENGGANU, 3 Disember - Kampung (kg) Bukit Tadok menjadi lokasi terakhir dilanda banjir di kawasan Telemong setiap kali tiba musim tengkujuh.
Pengerusi MPKK, Mohd Latik Harun berkata ia akibat limpahan air dari sungai yang bertembung dengan air banjir yang surut di kawasan Kg Kuala Ping, Kg Tengkawang, Kg Kepah dan Kg Matang.
Menurutnya, ia menjadi satu kebiasaan apabila mereka terpaksa berhadapan dengan banjir termenung hampir seminggu untuk kembali pulih seperti biasa.
Tambahnya, jika mangsa banjir lain sudah pulang ke rumah masing-masing dan Pusat Pemindahan Sementara ditutup, ia berlainan di Kg Bukit Tadok kerana baru bermula pemindahan disebabkan paras air meninggi.
"Kali ini seramai 140 mangsa terlibat dalam pemindahan yang melibatkan 44 keluarga.
"Saban tahun kami hadapi perkara yang sama dan ada kalanya sampai seminggu untuk air surut kembali dan baru pulang ke rumah masing-masing," katanya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di Pusat Pemindahan Banjir Kg Bukit Tadok, di sini hari ini.
Sementara itu, salah seorang mangsa banjir, Fatimah Idris, 57, berkata dia sudah 'kalih' dengan suasana dan keadaan itu sejak kecil lagi.
"Mak cik dibesarkan di kampung ni jadi banjir ni dah biasa bagi kami sekeluarga cuma rasa penat tu bila nak bersih rumah terutama lumpur.
"Air memang laju dan kawasan kampung ni jadi macam kawasan tadahan air sebab tu banjir susah nak surut ' termenung' dan ambil masa lebih dua hari untuk pulih," ujarnya.
Sumber: teganukita.net